
Cacar monyet dikaitkan dengan hubungan seks lelaki dengan lelaki, gay dan biseksual. - Gambar Reuters
Jabatan Kesihatan Johor (JKNJ) hari ini mengesahkan semua 14 kenalan dengan seorang warga Malaysia di Singapura yang dijangkiti cacar monyet pada 6 Julai lalu disahkan bebas daripada penyakit itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata mereka yang kesemuanya berasal dari Johor telah diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selama seminggu.
Setakat hari ini (14 Julai), tiada kes baharu dilaporkan melibatkan pengunjung dari Singapura ke Johor, katanya.
“Bagaimanapun, semua hospital di negeri ini diminta berwaspada dan diarah untuk menambah baik kemudahan serta mengamalkan prosedur yang sama seperti yang diamalkan semasa pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita hari ini selepas merasmikan Bangunan Unit Hemodialisis di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Pada 6 Julai, seorang warga Malaysia berusia 45 tahun yang tinggal di republik Singapura disahkan positif cacar monyet dan melawat beberapa rumah kenalannya di Johor.
Mengenai pembukaan bangunan unit hemodialisis bernilai RM1 juta sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ling berkata terdapat 66 pesakit mendapatkan perkhidmatan dialisis di situ.
“Sehingga kini, terdapat 30 mesin dialisis ditempatkan di unit berkenaan dengan pesakit hanya dikenakan bayaran RM13 bagi setiap sesi rawatan,” katanya. – Bernama