14 kematian semalam, kes aktif seluruh negara naik kepada 65,952

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, meningkat kepada 14 kes, termasuk sembilan pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital (BID).

Angka itu menjadikan kumulatif kematian sejak wabak Covid-19 mula menular di negara ini awal 2020 lalu meningkat kepada 32,025 kes, termasuk 6,462 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Pada Jumaat, seramai 11 pesakit Covid-19 meninggal dunia, menurut statistik laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi.

Lima negeri kekal mencatat kes kematian melebihi 2,000 dengan Selangor merekodkan 10,065 kes, diikuti Johor (3,925); Sabah (2,837); Kuala Lumpur (2,703); dan Kedah (2,189 kes).

Enam negeri merekodkan kes kematian semalam dengan Selangor mencatat lima kes diikuti Sabah (empat); Kuala Lumpur (dua); dan masing-masing satu di Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Statistik Covidnow juga menunjukkan sehingga semalam, Selangor merekodkan 824,437 kumulatif kes positif, dengan 796,428 pesakit telah sembuh, dan 17,944 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 16,708 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 416 ditempatkan di PKRC; 802 dimasukkan ke hospital; dan 18 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Jumaat lalu, seramai 4,789,665 atau 94.6 peratus daripada populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 4,854,634 atau 95.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,118,122 atau 75.8 peratus daripada individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

Setakat ini, negara merekodkan 2,904,131 kumulatif kes positif dengan 2,806,154 pesakit telah sembuh dan 65,952 kes masih aktif, meningkat sebanyak 2,557 berbanding 63,395 kes yang direkod pada Jumaat.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 57,895 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,205 ditempatkan di PKRC; 3,729 dimasukkan ke hospital; dan 123 dirawat di ICU, dengan 67 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR