
Dua wanita dan seorang warga Bangladesh antara 14 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini, 20 Jun 2022 atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra. - Gambar hiasan
Empat belas anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’ termasuk dua wanita dan warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’ antara Januari 2016 hingga 12 Mac 2021 di daerah Timur Laut Pulau Pinang.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama. Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.
Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin walaupun peguam yang mewakili tertuduh memohon jaminan untuk anak guam masing-masing dan menetapkan sebutan semula pada 5 0gos ini, menurut Utusan.
Semua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan termasuk di dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mereka ialah A. Santeran, 55; Mohd. Azlisham Che Azmi, 38; C. P. Maria Prakit, 48; S. Boharaj, 29; Muhamad Fithri Mohamed Shafe, 41; Marzuki Osman, 42; Milon Masud; 30 dan K. Subramaniam, 49.
Turut dituduh bersama ialah A. Balasubramaniam, 61; Rosman Mohd. Ismail, 49; S. Puspakaran, 45; A. Raymond, 51; Noor Wadia Aziz, 39, dan Mohd. Fitri Odus, 39.
Prosiding dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fakhrurazi Ahmad Salim; Saifuddin Rafaie dan Rohaiza Abdul Rahim sementara hanya tujuh daripada kesemua tertuduh diwakili peguam.
Tertuduh, Mohd. Fitri diwakili peguam, Khairul Fairuz Rahman manakala peguam Ahmad Abdullah mewakili tertuduh Santeran; Maria Prakit; Balasubramaniam; Subramaniam; Boharaj dan Raymond.
Sebelum ini, polis Pulau Pinang menumpaskan sebuah kumpulan jenayah terancang apabila menahan seramai 11 suspek anggota kumpulan itu masing-masing sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 29 hingga 61 tahun.
Kumpulan jenayah terancang itu ditumpaskan menerusi Op Cantas Tanjung III pada jam 12 tengah hari, 24 Mei lalu yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, sindiket jenayah terancang itu dilumpuhkan ekoran penahanan ketua mereka yang ditangkap bersama sejumlah dadah di Teluk Bahang tahun lalu.
Dalam operasi itu juga, polis turut menemukan sebutir bom tangan yang masih aktif, enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup dengan sebahagiannya disembunyikan di dalam sebuah kebun durian di kawasan Teluk Bahang.