1,376 kes di Lembah Klang, empat negeri rekod peningkatan

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Lembah Klang dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun berbanding jumlah kes yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam.

Dalam tempoh itu Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, merekodkan 1,376 jangkitan baharu, berbanding 1,739 semalam.

Hanya Putrajaya yang merekodkan peningkatan kes daripada 29 kepada 33 kes hari ini, Selangor mencatatkan penurunan daripada 1,401 kes kepada 1,128, manakala Kuala Lumpur melaporkan 215 kes baharu, berbanding 309 semalam.

Berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang COVIDNOW, kumulatif kes positif di Lembah Klang sejak awal tahun lalu hingga hari ini adalah sebanyak 910,433 kes. Sehingga semalam, seramai 883,993 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Sehingga semalam, terdapat 17,887 kes aktif di Lembah Klang, dengan 15,676 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 1,348 ditempatkan di PKRC, 751 dirawat di hospital dan 112 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 72 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, tiga lagi negeri melaporkan peningkatan kes baharu dengan Kedah mencatat 371 kes berbanding 345 semalam, diikuti Terengganu (277 kes baharu, 266 semalam), dan Melaka (225 kes baharu, 223 semalam).

Sehingga berita ini ditulis jumlah kes baharu di Kelantan dan Labuan belum diperoleh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster baharu dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, meningkat sedikit berbanding dua kluster semalam.

Katanya ini menjadikan keseluruhan kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu kepada 5,771 kluster dengan 5,343 telah ditamatkan dan 428 masih aktif.

Tiga daripadanya melibatkan kluster berkaitan pendidikan, komuniti (dua) dan satu jangkitan di tempat kerja di Batu Pahat, Johor membabitkan lapan individu daripada 29 yang disaring.

Tiga kluster berkaitan pendidikan dikesan masing-masing di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dengan 24 individu dijangkiti daripada 80 yang disaring; Seremban dan Kuala Pilah (23 individu daripada 83 saringan); dan Kuantan, Pahang (10 individu, 80 saringan).

Kluster komuniti pula dikesan masing-masing di Hulu Selangor melibatkan 11 individu daripada 23 saringan, dan di Kota Bharu, Kelantan (16 individu, 20 saringan).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 6,127 pesakit Covid-19 disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 2,374,761 pesakit pulih, atau 96.1 peratus daripada 2,471,642 kumulatif positif yang dilaporkan.

Mengenai kes baharu hari ini, beliau berkata 4,596 adalah jangkitan tempatan yang turut melibatkan 219 pesakit bukan warganegara Malaysia, dan 23 kes import, termasuk tujuh rakyat asing.

Katanya sehingga kini seramai 888 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 326 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 4,979 kes harian yang dilaporkan hari ini, 85 pesakit atau 1.7 peratus membabitkan kategori 3, 4 dan 5, sementara 4,894 kes (98.3 peratus) adalah kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR