135 NGO Islam berdiri teguh sokong PM, kerajaan PN

Sebanyak 135 pertubuhan bukan kerajaan Islam berdiri teguh menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara.

Semua pertubuhan itu yang bergabung di bawah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) turut menyatakan solidariti kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

UMMAH dalam kenyataan hari ini berkata sokongan itu diberikan berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong bahawa Muhyiddin masih mempunyai majoritu untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dan mengetuai pentadbiran kerajaan PN.

“UMMAH menyeru semua parti politik Melayu Islam bermuafakat dan mengutamakan kepentingan nyawa rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19 daripada kepentingan politik peribadi dan kumpulan,” kata UMMAH.

Gabungan itu juga kesal dengan tindakan segelintir Ahli Parlimen tertentu yang menarik sokongan kepada kerajaan semasa, sedangkan pembentukan kerajaan kini adalah persetujuan bersama oleh Ahli Parlimen Melayu Islam.

Katanya Ahli Parlimen parti Melayu Islam sepatutnya kembali bersama kerajaan PN demi agama, rakyat dan negara.

Sehubungan itu UMMAH turut menyeru rakyat Malaysia menyokong dan mempertahankan kerajaan semasa sebagaimana titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri.

BERITA BERKAIT
POPULAR