1,302 kes baharu positif COVID-19, empat kematian

Sebanyak 1,302 kes positif COVID-19 baharu dan empat kematian dicatat setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes aktif kini mencecah 14,380, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, 1,293 daripada kes dilaporkan itu membabitkan penularan tempatan, iaitu 840 warganegara dan 453 bukan warganegara.

Katanya, sembilan kes import yang direkodkan membabitkan tujuh rakyat tempatan dan dua warga asing.

“Sarawak mencatatkan sejumlah 426 kes baharu, diikuti Selangor dengan 256 kes, Johor (176) dan Kuala Lumpur (58).

“Perlis pula tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 169 kes kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 76 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan turut merekodkan empat kematian baharu membabitkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kematian setakat ini sebanyak 1,255 atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, seramai 1,127 pesakit kini sembuh menjadikan sejumlah 326,309 kes atau 95.4 peratus daripada mereka yang dijangkiti kini pulih.

POPULAR