13 sungai di paras bahaya, 191 lokasi jalan berdepan bencana

Sebanyak 13 sungai di empat negeri berada dalam kategori bahaya apabila air melebihi paras amaran setakat pagi ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Katanya sembilan daripada sungai itu terletak di Pahang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Selangor serta Johor.

“Sebanyak 10 sungai berada pada paras amaran, iaitu masing-masing dua di Pahang, Kelantan, Melaka dan Sarawak serta masing-masing satu di Selangor dan Johor.

“Ini berdasarkan laporan diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran setakat jam 2.30 pagi tadi,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama beliau berkata sebanyak 137 jalan di empat negeri masih ditutup iaitu 120 jalan di Pahang; Selangor (12); Kelantan (tiga) dan Negeri Sembilan (dua).

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula memaklumkan 191 lokasi jalan di enam negeri – Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah – masih berdepan situasi bencana sehingga jam 10 pagi tadi, susulan kejadian banjir dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) JKR memaklumkan lokasi berkenaan membabitkan lapan daerah di Pahang; Selangor (tujuh); masing-masing dua daerah di Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah, serta satu daerah di Terengganu.

Sebanyak 144 lokasi berdepan bencana banjir, 10 lokasi banjir kilat, 23 lokasi cerun runtuh dan 11 lokasi jalan runtuh.

Sementara itu, Acryl Sani mengakui penyelarasan di antara agensi kerajaan perlahan dalam usaha membantu mangsa banjir, khususnya di Shah Alam Sabtu lalu pada mulanya agak perlahan.

Operasi menyelamat juga lambat kerana kepadatan penduduk di bandar raya berkenaan, termasuk ramai yang tinggal di apartmen, namun semua agensi penyelamat awam dapat menyelaras tugas mereka dengan baik pada hari kedua banjir, katanya.

“Memang koordinasi semua agensi agak perlahan pada peringkat awal. Tapi selepas hari kedua, tindakan semua agensi ditingkatkan bagi memastikan mangsa dibantu dan diselamatkan.

“Di Shah Alam, kebanyakan mangsa banjir tinggal di rumah teres, apartmen dan pangsa. Kepadatan penduduknya berbeza berbanding di negeri lain seperti Kelantan serta Pahang.

“Urusan pemindahan berlaku dengan mudah di negeri berkenaan disebabkan lokasi dan bentuk penempatan serta kepadatan penduduk,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR