13 kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini

Sebanyak 13 kluster Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya 5,624 kluster dengan 4,862 sudah ditamatkan manakala 762 lagi masih aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu enam membabitkan kluster tempat kerja, tiga komuniti, dua berkaitan institusi pendidikan, dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi serta pusat tahanan.

Empat daripada kluster tempat kerja dikesan di Selangor membabitkan 111 individu dijangkiti Covid-19 daripada 646 yang disaring, dan masing-masing satu di Kulim, Kedah (30 individu), dan Melaka (15 individu).

Sarawak pula mencatatkan dua kluster komuniti di Limbang membabitkan 37 individu daripada 303 yang disaring, manakala satu lagi kluster komuniti direkodkan di Temerloh, Pahang membabitkan 22 individu daripada 67 yang disaring.

Kedah turut melaporkan satu kluster institusi pendidikan swasta melibatkan 32 individu positif Covid-19 daripada 86 yang disaring, manakala satu lagi kluster pendidikan dikesan di Seremban, Negeri Sembilan membabitkan lapan individu daripada 35 yang disaring.

Selangor pula merekodkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Sabak Bernam dengan 14 individu positif, dan Sarawak mencatatkan satu kluster pusat tahanan (48 individu).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan seramai 10,832 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 2,227,889 kes.

Beliau juga berkata daripada 7,950 jangkitan baharu hari ini, 133 kes atau 1.7 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5; sementara 7,817 kes (98.3 peratus) lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR