13 kematian semalam

Tiga belas lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk tiga kes pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau ’brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak wabak berkenaan melanda negara awal 2020 lalu, meningkat kepada 32,056 kes, termasuk 6,469 kes BID.

Lapan negeri mencatat kes kematian semalam dengan Selangor merekodkan tiga kes, diikuti masing-masing dua di Kelantan, Perak serta Sabah; dan masing-masing satu kes di Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Dengan tiga kematian baharu itu, jumlah kumulatif pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 di Selangor meningkat kepada 10,069 kes, termasuk 2,133 kes BID.

Sehingga semalam Selangor merekodkan kumulatif positif sebanyak 835,459 kes, dengan 801,051 pesakit telah sembuh, dan 21,308 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 19,971 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 414 ditempatkan di PKRC; 908 dimasukkan ke hospital; dan 15 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kelmarin, seramai 4,287,743 individu dewasa di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 4,336,334 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,169,043 atau 76.8 peratus menerima dos penggalak.

Setakat ini, sebanyak 61 daripada 1,368 kluster yang dikesan di negeri itu masih aktif.

Sehingga semalam negara merekodkan 2,939,198 kumulatif kes positif, dengan 2,824,071 pesakit telah sembuh, dan 83,071 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif di seluruh negara itu, 73,405 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,958 ditempatkan di PKRC; 4,570 dimasukkan ke hospital; dan 138 pesakit dirawat di ICU, termasuk 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR