12 negeri rekod peningkatan kes baharu hari ini, Sarawak tertinggi

Kecuali empat negeri – Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu – negeri dan Wilayah Persekutuan di seluruh negara yang lain merekodkan peningkatan jangkitan baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi jangkitan baharu kembali meningkat setelah turun tiga hari berturut-turut.

Dalam tempoh itu 15,759 kes dilaporkan, berbanding 14,345 kes yang direkodkan semalam, katanya.

Beliau berkata angka itu menjadikan kumulatif sejak jangkitan pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini awal tahun lalu kepada 2,127,934 kes.

Jangkitan harian tertinggi pernah direkodkan bulan ini adalah pada 10 September lalu membabitkan 21,176 kes. Jumlah itu mulai turun pada 17 September apabila merekodkan 17,577 kes; 18 September (15,549 kes); dan 19 September (14,975 kes).

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, Sarawak kekal menjadi penyumbang utama apabila mencatat 3,732 kes baharu hari ini berbanding 3,611 kes semalam, diikuti Johor dengan 1,959 kes hari ini (1,598 semalam).

Selangor pula merekodkan peningkatan daripada 1,365 kes semalam kepada 1,934 hari ini; Pulau Pinang (1,417 hari ini, 1,170 semalam); Kelantan (1,338 hari ini, 1,050 semalam); Sabah (1,291 hari ini, 1,255 semalam); dan Perak (1,184 hari ini, 1,090 semalam).

Kuala Lumpur pula merekodkan 359 kes baharu hari  ini berbanding 307 yang dicatatkan semalam; Melaka (264 hari ini, 162 semalam); Negeri Sembilan (127 hari ini, 125 semalam); Putrajaya (34 kes hari ini, 11 semalam); dan Labuan (12 kes hari ini, 0 semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR