
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 16 Februari 2022.
Dua belas negeri hari ini mencatat peningkatan jangkitan harian Covid-19, menyusul jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak wabak itu melanda negara pada awal 2020 lalu sebanyak 27,831 kes.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, Selangor mencatat lonjakan daripada 3,862 kes semalam kepada 6,647 kes hari ini, yang melibatkan 6,597 komuniti, 19 (penjara), dan 31 kes import luar negara.
Daripada jumlah itu Daerah Petaling mencatat 1,697 kes baharu diikuti Hulu Langat (1,479); Gombak (1,276); Klang (980); Kuala Selangor (318); Sepang (278); Kuala Langat (248); Hulu Selangor (221); dan Sabak Bernam (150).
Angka terbaharu itu menjadikan Selangor kini merekodkan 870,030 kumulatif positif, dengan sehingga semalam seramai 811,019 pesakit telah sembuh, dan 10,084 kematian.
Sehingga semalam juga Selangor merekodkan 42,280 kes aktif, tertinggi berbanding negeri-negeri lain, dengan 40,665 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 460 ditempatkan di PKRC; 1,122 dimasukkan ke hospital; dan 33 dirawat di ICU, termasuk 21 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, 11 negeri lain merekodkan peningkatan kes harian hari ini membabitkan Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Terengganu, Sarawak, dan Putrajaya.
Sabah merekodkan 5,082 kes baharu berbanding 4,374 semalam, diikuti Kedah (2,961 kes baharu, 2,649 semalam); Pulau Pinang (2,142 kes baharu, 1,681 semalam); dan Kelantan (1,914 kes baharu, 1,598 semalam).
Kuala Lumpur pula merekodkan 1,726 kes baharu, berbanding 1,215 semalam, diikuti Negeri Sembilan (1,460 kes baharu, 684 semalam); Pahang (948 kes baharu, 836 semalam); Melaka (596 kes baharu, 546 semalam); Terengganu (465 kes baharu, 453 semalam); Sarawak (307 kes baharu, 284 semalam); dan Putrajaya (143 kes baharu, 108 semalam).
Sehingga hari ini negara merekodkan 3,111,514 kumulatif kes positif dengan 2,876,450 kes sembuh dan 32,180 kes kematian.
Sehingga semalam sebanyak 182,965 kes aktif dilaporkan, meningkat 14,518 kes berbanding Isnin.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 170,635 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,517 ditempatkan di PKRC; 6,619 dimasukkan ke hospital; dan 194 dirawat di ICU, dengan 120 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 28 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.
Jumlah itu, katanya menjadikan keseluruhan kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu sebanyak 6,657 kluster dengan 6,190 telah ditamatkan dan 467 masih aktif.
Maklumat lengkap berkaitan kluster yang dikesan itu akan dikemas kini dalam laman sesawang Covidnow tengah malam ini.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh itu sebanyak 7,912 pesakit telah sembuh, 204 dirawat di ICU dengan 116 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Menurutnya, sebanyak 118 kes import turut dikesan melibatkan 60 warganegara dan 58 bukan warganegara, sementara 27,713 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 664 rakyat asing.