12 lelaki dikompaun solat berjemaah tanpa patuhi SOP PKP 3.0

Dua belas lelaki tempatan termasuk seorang warga Indonesia dikompaun kerana berkumpul menunaikan solat berjemaah di ruang sebuah premis tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, polis melakukan serbuan di premis berkenaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada jam 1.30 petang semalam.

“Semasa serbuan dijalankan didapati seramai 12 individu iaitu 11 lelaki berbangsa Melayu dan 1 lelaki warganegara Indonesia sedang berkumpul menunaikan solat secara berjemaah di dalam riangan premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tiada kebenaran untuk menjalankan aktiviti solat berjemaah dan juga didapati mereka telah melakukan kesalahan berkumpul di dalam premis, tanpa memakai pelitup muka serta gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check ini di premis atau menulis secara manual,” katanya.

Beliau berkata, semua individu terbabit dikenakan kompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, jumlah kompaun yang boleh dikenakan adalah antara RM1,500 hingga RM4,000 tiap seorang.

Dalam satu lagi kes, Mohd Fazley berkata polis menahan 19 warga asing dalam Op Pematuhan Covid-19 di kawasan sempadan pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai dan IPD Kajang pada 16 Mei lalu.

Katanya, warga negara asing berusia antara 20 hingga 42 tahun itu ditahan kerana merentasi batu halangan serta kawad berduri yang diletak pihak berkuasa bagi menghalang aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

BERITA BERKAIT
POPULAR