12 kes BID, 22 meninggal di hospital

Dua belas daripada 34 kes kematian yang dilaporkan di Malaysia akibat komplikasi Covid-19 semalam, melibatkan pesakit yang belum sempat dibawa menerima rawatan di hospital atau dikategorikan sebagai kes ’brought in death’ (BID).

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan kumulatif kes BID kini meningkat kepada 6,563 kes, manakala 25,747 pesakit Covid-19 lagi meninggal dunia di hospital sejak awal 2020 lalu.

Bagaimanapun, KKM tidak memaklumkan sama ada kes BID itu adalah dalam kalangan 230,491 pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah atau sebaliknya.

Jumlah keseluruhan kes kematian itu meletakkan Malaysia pada kedudukan keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Semua pesakit yang meninggal dunia semalam direkodkan di 11 negeri, dengan Pahang, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sifar kematian.

Daripada kes kematian itu, Johor merekodkan jumlah tertinggi melibatkan lapan pesakit meninggal dunia, termasuk dua kes BID, menjadikan kumulatif di negeri itu sebanyak 3,977 kes sejak awal 2020 lalu.

Negeri itu yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac depan, sehingga semalam merekodkan kumulatif positif sebanyak 298,900 kes, dengan 268,569 pesakit telah sembuh, dan 26,354 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 24,727 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 382 ditempatkan di PKRC; 1,213 dimasukkan ke hospital; dan 32 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 22 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sabah turut mencatat kes kematian tertinggi semalam iaitu tujuh kes, menjadikan kumulatif sebanyak 2,900 kes.

Selangor mencatat lima kematian semalam, diikuti Melaka (empat); masing-masing dua kes di Kedah, Negeri Sembilan, serta Perak; dan masing-masing satu kes di Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak, serta Terengganu.

Sejak 2020 hingga semalam, lima negeri kekal mencatat kes kematian melebihi 2,000, dengan Selangor merekodkan 10,111 kes, diikuti Johor (3,977); Sabah (2,900); Kuala Lumpur (2,706); dan Kedah (2,213 kes).

Negara semalam merekodkan 28,825 kes harian baharu tertinggi sejak awal 2020 lalu, menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 3,194,848 kes, dengan 2,919,196 pesakit telah sembuh, dan 243,342 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 230,491 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 5,414 ditempatkan di PKRC; 7,199 dimasukkan ke hospital; dan 238 pesakit dirawat di ICU, dengan 130 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 19 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR