12 kematian semalam, kes aktif naik

Sepuluh pesakit meninggal dunia di hospital akibat komplikasi Covid-19, semalam, manakala dua lagi dikategorikan sebagai kes brought in death (BID) – meninggal sebelum sempat menerima rawatan di hospital, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Jumlah terbaharu itu menjadikan keseluruhan kes kematian terkumpul sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal 2020 lalu, naik kepada 31,930 kes, termasuk 6,434 kes BID.

Statistik laman sesawang Covidnow kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi, menunjukkan tujuh negeri mencatat kes kematian semalam.

Manakala, sembilan negeri – Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya – tidak merekodkan kes kematian.

Berdasarkan statistik itu, Sabah dan Selangor masing-masing mencatat tiga kes kematian; diikuti dua di Johor; dan masing-masing satu di Melaka, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Selangor yang kekal menjadi ’titik panas’ penularan Covid-19 di Malaysia, sehingga semalam merekodkan 808,941 kumulatif kes positif. Daripada jumlah itu, 786,799 pesakit telah sembuh, dan 10,051 kes kematian.

Sebanyak 12,091 kes di Selangor masih aktif, meningkat berbanding 11,687 kes pada Selasa. Semalam, jumlah individu yang dikuarantin di rumah juga meningkat kepada 10,836 berbanding 10,528 pada Selasa; 524 pesakit ditempatkan di PKRC (489 Selasa); dan 711 dimasukkan ke hospital (645 Selasa).

Bagaimanapun, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Selangor turun daripada 25 kes pada Selasa kepada 20 pesakit semalam, dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor juga mencatat 43 kluster aktif, termasuk enam yang dikesan semalam, menjadikan jumlah kluster terkumpul sebanyak 1,340 dengan 1,297 telah ditamatkan.

Daripada jumlah kluster aktif itu, 17 melibatkan kategori tempat kerja; pendidikan (16); komuniti (tujuh); dan kumpulan berisiko tinggi (tiga kluster).

Sehingga Selasa lalu, seramai 4,785,825 atau 94.6 peratus individu berusia 12 tahun dan ke atas di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 4,851,472 atau 95.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 2,772,698 atau 49.9 peratus menerima suntikan dos penggalak.

Sehingga semalam, Malaysia merekodkan 2,844,969 kumulatif kes positif, ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia yang mencatat 4,301,193 kes positif, dan Filipina (3,475,293), dan 2,766,254 pesakit telah sembuh.

Kes aktif di seluruh negara juga turut bertambah, usai peningkatan jangkitan harian disumbang oleh penularan dalam kalangan pelajar dan kakitangan pendidikan sejak 1 Januari lalu.

Sehingga semalam negara merekodkan 46,785 kes aktif, naik berbanding 45,699 yang dicatat pada Selasa, dengan 39,394 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,380 ditempatkan di PKRC; 2,882 dimasukkan ke hospital; dan 129 dirawat di ICU, termasuk 72 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes negara-negara ASEAN sehingga 26 Januari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR