12 kematian, lapan negeri sifar kes

Lapan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan sifar kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, ketika Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes positif baharu dan kemasukan ke hospital.

Statistik laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan tiada kes kematian dilaporkan di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bagaimanapun lapan negeri lagi merekodkan 12 kes kematian menjadikan kumulatif pesakit Covid-19 meninggal dunia sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 31,793 mangsa. Tiada kes ‘Brought in Death’ (BID) dilaporkan semalam.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital berkurangan dengan amat ketara susulan PICK, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Beliau berkata hasil daripada usaha jitu semua pihak, selain pelaksanaan PICK sejak 24 Februari 2021 lalu, garis lengkung atau keluk pandemik Covid-19 di negara ini juga telah berjaya dilandaikan. Berita berkaitan

Sementara itu, Pahang mencatat tiga kematian semalam, menjadikan jumlah terkumpul di negeri itu sebanyak 794 kes, termasuk 100 kes BID.

Pahang juga mencatat 98,567 kes positif terkumpul, termasuk 298 kes import, dengan 95,395 pesakit telah sembuh dan 2,378 lagi kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,391 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 837 ditempatkan di PKRC; 138 dimasukkan ke hospital; dan 12 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Sabtu, seramai 1,176,857 atau 70.1 peratus penduduk Pahang telah lengkap divaksinasi, 1,192,648 atau 71.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 349,205 individu lagi menerima dos penggalak.

Sebanyak 20 daripada 377 kluster yang dikesan di negeri itu juga masih aktif, dengan jangkitan berkaitan komuniti dan import masing-masing mencatat enam kluster, diikuti masing-masing tiga kluster pendidikan dan tempat kerja, serta dua (kumpulan berisiko tinggi).

Bagi negeri-negeri lain, Kedah dan Melaka mencatat dua kematian, manakala masing-masing satu di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Selangor.

Setakat ini, 10 negeri dan Wilayah Persekutuan kekal mencatat kes kematian melebihi 1,000 dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 10,016 kes.

Ini diikuti Johor sebanyak 3,893 kematian; Sabah (2,808); Kuala Lumpur (2,692); Kedah (2,179); Pulau Pinang (1,761); Sarawak (1,620); Perak (1,420); Negeri Sembilan (1,327); dan Kelantan (1,266).

Sehingga semalam, negara mencatat 2,808,347 kes positif terkumpul sejak awal 2020, dengan 2,735,355 pesakit telah sembuh, dan 41,199 lagi kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 33,784 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,080 ditempatkan di PKRC; 3,153 pesakit dimasukkan ke hospital; dan 182 pesakit dirawat di ICU, dengan 83 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes berkaitan Covid-19 di negara-negara ASEAN sehingga 16 Januari 2022. – Sumber WHO

BERITA BERKAIT
POPULAR