12 kematian dilaporkan semalam

Jumlah kematian terkumpul akibat komplikasi Covid-19 sejak awal 2020 lalu hingga semalam mencecah 31,750 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi.

Jumlah itu menyusul setelah 12 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam di lapan negeri. Tiada kes kematian ‘brought in death’ (BID) dilaporkan semalam.

Daripada keseluruhan lapan negeri itu, Sabah merekodkan tiga kematian menjadikan keseluruhannya 2,805 kes, termasuk 1,099 kes BID.

Keseluruhannya Sabah kini mencatat 243,495 kes positif, dengan 235,720 pesakit telah sembuh, dan 4,970 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 4,249 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 327 ditempatkan di PKRC; 365 dimasukkan ke hospital; dan 29 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan data taburan kematian mengikut kumpulan umur di negeri itu sejak seminggu lalu, sebanyak 45.5 peratus melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 27.3 peratus (70 hingga 79 tahun); dan masing-masing 9.1 peratus individu berusia 40 ke 49 tahun; 50 ke 59 tahun; dan 60 ke 69 tahun.

KKM juga memaklumkan terdapat lapan kluster aktif di Sabah dengan empat daripadanya membabitkan tempat kerja; pendidikan (tiga); dan satu kluster import.

Bagi tujuh lagi negeri, Johor dan Pahang masing-masing mencatat dua kes kematian, diikuti masing-masing satu di Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, dan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Melaka, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam negara merekodkan 2,798,917 kumulatif positif, termasuk 12,403 kes import. Seramai 2,726,891 pesakit dilaporkan telah sembuh, dan 40,276 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 33,075 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,660 ditempatkan di PKRC; 3,343 dimasukkan ke hospital; dan 198 pesakit dirawat di ICU dengan 93 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR