12 kematian, 40,558 kes masih aktif

Seramai 12 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk dua yang dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID), lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawang kendaliannya, Covidnow pagi ini, angka itu menjadikan kes kematian terkumpul sejak awal 2020 lalu sebanyak 31,762, termasuk 6,409 kes BID.

Menurut KKM, sejak seminggu lalu sehingga semalam kes kematian akibat Covid-19 lebih banyak melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas iaitu 28.7 peratus, diikuti 23.8 peratus (60-69 tahun); 21.3 peratus (70-79 tahun); 12.3 peratus (50-59 tahun); 7.4 peratus (40-49 peratus); 4.9 peratus (30-39 peratus); dan 1.6 peratus (0-4 tahun).

Hanya enam negeri sahaja yang merekodkan kes kematian semalam, dengan Selangor merekodkan empat kematian, masing-masing dua di Pahang, Pulau Pinang, serta Terengganu; dan masing-masing satu di Johor, serta Kedah.

Jumlah kematian di Selangor kini meningkat kepada 10,010 kes dengan negeri itu turut merekodkan 798,036 kumulatif kes positif. Daripada jumlah itu, 777,407 pesakit telah sembuh, dan 10,619 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 8,724 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,136 ditempatkan di PKRC; 724 dimasukkan ke hospital; dan 35 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kelmarin (13 Januari 2022), lebih 11.71 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada penduduk negeri itu, di mana 94.4 peratus atau 4,778,453 populasi telah lengkap divaksin, manakala 95.6 peratus atau 4,846,853 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 2,101,047 individu atau 32.1 peratus lagi populasi di Selangor menerima suntikan dos penggalak.

KKM memaklumkan sehingga semalam, negara merekodkan 2,802,263 kumulatif kes positif – tempat ketiga selepas Indonesia dan Filipina dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu seramai 2,729,943 pesakit telah sembuh, dan 40,558 kes masih aktif, meningkat 282 kes berbanding 40,276 yang dicatat pada Khamis.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 33,075 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,984 ditempatkan di PKRC; 3,295 dimasukkan ke hospital; dan 204 pesakit dirawat di ICU dengan 95 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes berkaitan Covid-19 di negara-negara ASEAN sehingga 14 Januari 2022. – Sumber WHO

BERITA BERKAIT
POPULAR