12 daripada 16 kluster baharu semalam babitkan institusi pendidikan

Jangkitan Covid-19 yang melibatkan institusi pendidikan terus meningkat melebihi kluster kategori lain sejak awal Januari lalu, menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Daripada 16 kluster baharu yang dikesan dalam tempoh 24 jam semalam, 12 kluster melibatkan institusi pendidikan.

Laman sesawang Covidnow kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan, lima kluster pendidikan direkodkan di Kelantan, Selangor (dua), dan masing-masing satu di Johor, Melaka, Sabah, Putrajaya, dan Pahang.

Lima Kluster pendidikan di Kelantan membabitkan:

  • Kluster Lorong Taman Sri Darul Riyadh, Pasir Mas – 30 kes;
  • Kluster Jalan Darul Naim, Kota Bharu – 11 kes;
  • Kluster Kampung Wakaf Zin, Bachok dan Kota Bharu – 8 kes;
  • Kluster Seksyen 17 Lembah Sireh 2, Kota Bharu – 48 kes; dan
  • Kluster Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung 2, Pasir Mas – 21 kes.

Manakala kluster pendidikan di Selangor pula ialah:

  • Kluster Jalan Sungai Long 32, Klang – 19 kes; dan
  • Kluster Pasir Penambang, Kuala Selangor – 26 kes.

Kluster pendidikan di Johor pula ialah Kluster Tanjung Agas Tangkak membabitkan tujuh kes; diikuti Kluster Londang, Alor Gajah, Melaka (27 kes); Kluster Jubi Tambulion, Kota Belut, Sabah (22 kes); Kluster Jalan Jati Bukit, Putrajaya (tujuh kes); dan Kluster Lebuh Karak 2, bentong, Pahang (16 kes).

Sementara itu dua kluster tempat kerja direkodkan di Putrajaya dan Melaka, sementara kluster kumpulan berisiko tinggi di Batu Pahat, Johor, dan kluster pusat tahanan di Kota Kinabalu, Sabah.

BERITA BERKAIT
POPULAR