12.49 juta penduduk sudah terima satu dos vaksin: Khairy

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu Dewan Rakyat seramai 12.49 juta penduduk negara ini atau 38.2 peratus keseluruhan populasi, sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin sekali gus bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang sudah diberi kepada rakyat negara ini.

“Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi rakyat negara ini sudah menerima menerima satu dos vaksin,” katanya hari ini pada sesi penerangan mengenai PICK yang sedang dilaksanakan kerajaan pada Sidang Khas Dewan Rakyat yang masuk hari ketiga hari ini.

Katanya, kira-kira 25.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dos lengkap.

“Bagi petugas barisan hadapan, dalam fasa pertama program vaksinasi seramai 695,000 selesai dos lengkap, iaitu 195 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal 500,000 orang.

“Kumpulan fasa kedua pula sehingga 25 Julai lalu mencatatkan 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas yang sudah mendaftar menjadi penerima vaksin, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sehingga 26 Julai lalu seramai 2,134,971 individu atau 61.7 peratus daripada populasi Malaysia mendaftar untuk PICK.

“Pendaftaran PICK setakat 26 Julai masih rendah berbanding sasaran 80 peratus daripada keseluruhan populasi yang perlu divaksin,” katanya.

Beliau berkata kadar vaksinasi juga meningkat 124 peratus sehingga semalam, berbanding purata harian dicatatkan pada bulan Jun.

Katanya untuk Jun lalu, disasarkan 150,000 dos vaksin diberikan tetapi purata harian dicapai 169,000 dos sehari.

“Untuk Julai disasarkan 300,000 dos vaksin diberikan sehari namun sehingga semalam melibehi sasaran dengan purata 378,000 dos sehari,” katanya

BERITA BERKAIT
POPULAR