115 kematian, tertinggi sejak awal Oktober 2021, Johor catat 25 kes

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara semalam (Rabu, 2 Mac 2022) mencatat rekod baharu sejak Oktober tahun lalu, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sepanjang tahun ini.

Rekod laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan dalam tempoh 24 jam semalam sebanyak 115 kes kematian diaporkan, termasuk 36 pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau kes BID.

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada 36 kes BID itu melibatkan kalangan 309,069 pesakit yang diperintah menjalani kuarantin di rumah.

KKM juga tidak menyatakan secara terperinci berhubung kes kematian itu sama ada ia melibatkan virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) atau Variant of Interest (VOI).

Namun, angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 di negara ini sejak awal tahun lalu meningkat kepada 32,942 kes, termasuk 6,780 kes BID.

Rekod tertinggi kes kematian sebelum ini pernah dicatatkan pada 7 Oktober 2021 melibatkan seramai 132 pesakit.

Berdasarkan data CovidNOW itu, Johor merekodkan jumlah tertinggi dengan 25 kes kematian, diikuti 24 kes di Sabah; Selangor (18 kes); masing-masing lapan kes di Kedah serta Negeri Sembilan; dan Perak (tujuh kes).

Pahang dan Kuala Lumpur pula merekodkan enam kes kematian, diikuti Kelantan (empat); Pulau Pinang (tiga); masing-masing dua di Melaka serta Perlis; dan masing-masing satu kes di Sarawak serta Terengganu.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam, Johor mencatat 4,106 kes kematian, termasuk 541 kes BID.

Angka kematian semalam juga adalah yang tertinggi di Johor tahun ini, dan meningkat tiga hari berturut-turut selepas mencatat 13 kes pada 28 Februari 2022, dan 21 kes pada 1 Mac 2022.

Dalam tempoh itu juga negeri berkenaan yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan, mencatat 323,576 kumulatif positif apabila 1,949 kes baharu direkodkan semalam, dengan 294,978 pesakit telah sembuh, dan 24,492 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 23,217 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 169 ditempatkan di PKRC; 1,074 dimasukkan ke hospital; dan 32 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 18 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Rabu, seramai 3,058,672 atau 80.6 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,224,739 atau 85.0 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,945,421 atau 71.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR