113 kematian, 41 kes BID

Jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID) semakin meningkat kepada 41 kes semalam (9 Mac 2022) berbanding 19 pada Selasa.

Bagaimanapun tiada maklumat diberikan sama ada kes BID itu turut melibatkan 297,924 pesakit yang diarah menjalani kuarantin di rumah setelah dikesan positif virus SARS-CoV-2 itu.

Sejak Covid-19 mula menular di negara ini awal 2020 lalu hingga semalam, sebanyak 6,955 kes BID dilaporkan daripada keseluruhan 33,497 kes kematian yang direkodkan sepanjang tempoh itu.

Keseluruhan kes kematian yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam juga meningkat kepada 113 kes, berbanding 79 pada Selasa, menurut statistik laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini pagi tadi.

Lima negeri merekodkan jumlah kematian melebihi 10 kes, manakala hanya Labuan dan Putrajaya sahaja yang tidak mencatat kes kematian semalam.

Jumlah tertinggi kematian semalam membabitkan Selangor iaitu sebanyak 22 kes, menjadikan kumulatif sejak awal 2020 kepada 10,293 kes, termasuk 2,210 kes BID.

Sehingga semalam, Selangor merekodkan kumulatif positif sebanyak 1,017,168 kes dengan 926,589 pesakit telah sembuh, dan 80,286 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 78,339 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 402 ditempatkan di PKRC; 1,491 dimasukkan ke hospital; dan 54 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari 2021 lalu hingga semalam, seramai 4,801,130 atau 94.9 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,066,045 atau 100 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,827,302 atau 90.3 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Menurut data CovidNOW itu juga sehingga kini sebanyak 74 kluster Covid-19 masih aktif di Selangor.

Sementara itu, Sabah merekodkan 18 kematian, diikuti Johor (14 kes); Kedah (12); Pulau Pinang (10); Pahang (sembilan); Perak (tujuh); Negeri Sembilan (enam); Terengganu (empat); Kelantan (tiga); dan masing-masing dua kes di Melaka, Perlis, Sarawak, serta Kuala Lumpur.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 9 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR