
Data 28 September 2021.
Sembilan daripada 15 kluster baharu yang dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan jangkitan dalam komuniti manakala enam lagi adalah kluster tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kluster baharu itu menjadikan keseluruhan kluster yang muncul sejak penularan Covid-19 di negara ini awal tahun lalu meningkat kepada 5,447 kluster.
Katanya, daripada jumlah itu 4,296 kluster telah ditamatkan, manakala 1,151 lagi masih aktif, turun berbanding 1,165 kluster yang direkodkan sehingga semalam.
Berdasarkan statistik yang Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, Kelantan dan Pahang masing-masing mencatatkan tiga kluster komuniti membabitkan 38 dan 53 individu.
Tiga lagi kluster komuniti dikesan di Terengganu yang melibatkan 54 jangkitan, Selangor (10), dan Negeri Sembilan (27).
Bagi kluster tempat kerja pula, Johor dan Selangor masing-masing mencatatkan dua kluster, serta masing-masing satu di Kelantan dan Perak.
Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata seramai 14,160 pesakit Covid-19 disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu berjumlah lebih 2.02 juta pesakit.
Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 11,332 kes baharu Covid-19 dikesan di seluruh negara hari ini, termasuk 839 kes membabitkan rakyat asing.
Daripada jumlah kes baharu itu, 247 atau 2.2 peratus membabitkan pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala 11,085 pesakit lagi dalam kategori 1 dan 2, katanya.
Seramai 986 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 848 yang disahkan dijangkiti Covid-19, manakala selebihnya adalah kes dalam siasatan dan disyaki mungkin dijangkiti virus itu.
Seramai 574 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, termasuk 369 kes yang disahkan dijangkiti virus itu.