11 kluster baharu Covid-19 hari ini

Jumlah kluster baharu yang direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat semula berbanding semalam, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebelas kluster baharu dikesan, berbanding lapan kluster semalam, menjadikan keseluruhannya 5,763 kluster, dengan 5,303 telah ditamatkan dan 460 lagi masih aktif.

Katanya, kluster yang dikesan hari ini membabitkan masing-masing empat tempat kerja dan berkaitan pendidikan, komuniti (dua) dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Bagi kluster tempat kerja, 34 individu daripada 338 yang disaring di Lot 10 Bentong, yang melibatkan daerah Bentong, Temerloh dan Raub, Pahang, disahkan positif, manakala 21 individu daripada 28 saringan di Hulu Langat, Selangor juga dijangkiti Covid-19.

Tiga belas individu daripada 136 saringan tempat kerja melibatkan Industri Tiong di Tampin, Negeri Sembilan juga disahkan positif, manakala satu kluster tempat kerja lagi dikesan di Kulai, Johor melibatkan 11 individu daripada 40 yang disaring.

Kluster berkaitan pendidikan dikesan di Kota Bharu, Kelantan membabitkan 11 individu daripada 19 saringan; Alor Gajah dan Melaka Tengah (18 individu daripada 88 saringan); Seberang Perai Utara, Pulau Pinang (16 daripada 25 individu disaring); dan Kluang, Johor (11 individu daripada 29 saringan).

Dua kluster komuniti dikesan di Sabak Bernam, Selangor melibatkan 41 individu daripada 67 yang disaring, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi pula dilaporkan di Timur Laut, Pulau Pinang melibatkan 16 individu daripada 72 saringan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 7,297 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu hingga hari ini berjumlah 2,361,919 kes atau 96 peratus daripada keseluruhan 2,460,809 kes positif.

“Daripada 6,060 kes baharu hari ini, 13 daripadanya adalah kes import yang turut melibatkan empat bukan warganegara. Sejumlah 6,047 lagi adalah kes tempatan, termasuk 288 bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata seramai 870 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 300 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes hari ini, 105 atau 1.7 peratus adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 5,955 pesakit atau 98.3 peratus adalah kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR