
Kes kematian akibat komplikasi Covid-19 kekal rendah, namun kes aktif kini meningkat melebihi 300,000.
Angka kematian akibat komplikasi Covid-19 di Malaysia terus meningkat apabila seramai 11 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk empat kematian di luar hospital atau kes brought in death (BID).
Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 32,011 kes, termasuk 6,453 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Statistik laman sesawang Covidnow kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan tiga kematian dilaporkan di Johor; diikuti masing-masing dua di Pulau Pinang serta Sabah; dan masing-masing satu di Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu.
Sehingga semalam, Johor merekodkan kumulatif kematian sebanyak 3,924 kes, kedua tertinggi berbanding negeri-negeri lain, selepas Selangor yang mencatat 10,060 kes kematian.
Pada masa sama, Johor mencatat kumulatif positif sebanyak 263,220 kes, dengan 248,639 pesakit telah sembuh, dan 10,657 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 9,396 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 639 ditempatkan di PKRC; 609 dimasukkan ke hospital; dan 13 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk lapan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Daripada 1,204 kluster yang dikesan di negeri itu sejak awal 2020 lalu, 51 masih aktif.
Sehingga kelmarin, 3,053,683 atau 80.8 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, manakala 3,084,218 atau 81.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Seramai 1,384,345 atau 51.0 peratus lagi individu di negeri itu menerima suntikan dos penggalak.
Sementara itu, sehingga semalam negara merekodkan 2,895,014 kumulatif kes positif dengan 2,799,608 pesakit telah sembuh, dan 63,395 kes masih aktif, meningkat 1,969 kes berbanding Khamis.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 55,759 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,092 ditempatkan di PKRC; 3,426 dimasukkan ke hospital; dan 118 pesakit dirawat di ICU, dengan 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 4 Februari 2022.