107,985 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam Op Lancar

Sebanyak 107,985 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pesalah trafik di seluruh negara, setakat kelmarin.

Semua saman tersebut melibatkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang seminggu pelaksanaan 463 Op Lancar oleh PDRM.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata polis turut menahan 190 individu dan menyita 112 kenderaan melalui operasi itu.

Beliau berkata, mereka yang ditahan termasuk 146 kerana memandu bawah pengaruh alkohol, samseng jalanan (22), parkir haram (enam) serta pemalsuan dokumen dan dadah (masing-masing lima).

“Operasi itu diadakan mulai 24 Disember lalu hingga esok, susulan sambutan Krismas pada 25 Disember yang menyebabkan aliran trafik meningkat dan berlaku kesesakan.

“Justeru bagi memastikan kelancaran lalu lintas, satu penugasan dan operasi dilaksanakan di lokasi strategik kerap berlaku kesesakan serta kemalangan.

“Tujuan OP Lancar ialah memastikan kelancaran lalu lintas, menentukan tindakan undang-undang kepada pesalah trafik, serta memberi keutamaan kepada penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai Op Khas sempena Tahun Baharu 2022 di seluruh negara semalam pula, Mohd Nadzri berkata, ia membabitkan 2,462 pegawai polis dengan kerjasama beberapa agensi, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“JSPT melancarkan operasi khas itu bagi mengurangkan kadar kemalangan, terutama kes maut, selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dan pengawalan trafik mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nadzri berkata, PDRM menahan 2,692 individu melalui 1,249 Operasi Mabuk di seluruh negara, sepanjang tahun lalu.

Selain itu, katanya, sebanyak 3,017 Operasi Samseng Jalanan turut diadakan dalam tempoh sama yang menyaksikan sebanyak 24,293 saman kesalahan trafik dikeluarkan, selain 2,491 tangkapan dan 3,294 kenderaan disita.

“Saman itu meliputi kesalahan melanggar lampu isyarat merah membabitkan sejumlah 48,798 kenderaan meliputi 24,636 motosikal, kereta (19,180), lori (2,395), bas (76), kenderaan pacuan empat roda (1,699) dan lain-lain (812).

“Tindakan saman kerana melawan arus trafik turut diambil terhadap 385 kenderaan membabitkan 158 motosikal, kereta (171), lori (23), van (tiga), kenderaan pacuan empat roda (28) dan teksi (dua),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR