1,078 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 di Kelantan

Orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak membawa anak-anak ke tempat awam.

Seramai 1,078 atau 18 peratus daripada 5,921 pesakit Covid-19 di Kelantan terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Memetik Bernama, beliau dilaporkan berkata antara daerah yang mencatatkan angka tinggi ialah daerah Kota Bharu sebanyak 517 kes, diikuti Pasir Mas (132 kes), serta Tumpat (120 kes), dan perkembangan ini menurutnya agak membimbangkan.

“Orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak membawa anak-anak ke tempat awam. Kita juga menasihati ibu bapa yang pulang ke rumah selepas berurusan di luar supaya membersihkan diri sebelum menyentuh atau berinteraksi dengan anak-anak mereka,” katanya.

Selasa lalu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan bayi menimbulkan kebimbangan berikutan mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti selepas warga emas.

Semalam, Kelantan merekodkan 754 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini adalah 24,723 kes dengan empat kluster baharu.

Negeri itu juga mencatatkan lima kematian sepanjang tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam.

POPULAR