100% penduduk dewasa dijangka lengkapi vaksin akhir Oktober: PM

Menjelang akhir Oktober 2021 dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia akan melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pagi tadi dan mendapati setakat ini proses vaksinasi berjalan mengikut jadual.

“Menjelang 31 Ogos 2021, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin.

“Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau yakin sasaran itu akan dapat dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.

Beliau berkata berdasarkan data terkini yang tersedia baik di negara kita atau negara luar, jumlah kes-kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

“Insya-Allah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera. Amin ya rabbal alamin,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu data JKJAV setakat semalam menunjukkan lebih 8.77 juta individu atau 26.9 peratus daripada populasi di seluruh negara telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin masing-masing, manakala 37.5 peratus membabitkan penduduk dewasa yang telah melengkapkan dua kedua.

BERITA BERKAIT
POPULAR