
KJ muncul dalam Program Podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.
Pencapaian 100 hari kerajaan di bawah pentabiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dinilai hanya pada gred B tolak (B-).
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata gred itu jauh lebih tinggi daripada kadar lulus kerana dasar jangka panjang kerajaan masih lagi sama.
Malah beliau melihat prestasi jemaah menteri juga tidak konsisten dalam usaha membantu perdana menteri itu.
“Saya tidak kata mereka tidak bagus namun kurang menyerlah. Kita jangka mereka akan terus ke hadapan dalam membantu perdana menteri mentadbir negara.
“Jadi markah B- yang saya bagi untuk pencapaian 100 hari kerajaan madani sudah cukup tinggi,” katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 1 pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Dalam program sama Khairy turut berharap Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak memegang portfolio menteri kewangan selepas tempoh lima tahun akan datang.
“Diharapkan Anwar akan melepaskan jawatan keduanya itu selepas melihat ekonomi negara semakin stabil dan mempunyai hala tuju jelas.
“Dalam tata kelola kerajaan lebih baik asingkan jawatan perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya.