10 negeri catat peningkatan kes baharu semalam, Johor tertinggi

Sepuluh negeri mencatat peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang COVIDNOW hari ini.

Johor merekodkan jumlah jangkitan tertinggi sebanyak 649 kes berbanding 485 yang dicatatkan pada Rabu, menjadikan keseluruhan kes positif di negeri itu sejak awal tahun lalu sehingga semalam meningkat kepada 222,338 kes dengan 212,952 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Johor mencatat 6,175 kes aktif, naik 207 berbanding Rabu, dengan 5,019 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 635 dimasukkan ke PKRC; 491 ditempatkan di hospital; dan 30 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 22 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam, negeri itu juga merekodkan 3,709 kematian, termasuk 469 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID).

Negeri lain yang mencatat peningkatan kes semalam membabitkan Sabah sebanyak 579 kes berbanding 573 pada Rabu; Pahang (403 kes baharu, 367 Rabu); Kuala Lumpur (339 kes baharu, 323 Rabu); dan Negeri Sembilan (275 kes baharu, 199 Rabu).

Perak pula merekodkan 246 kes baharu semalam berbanding 200 pada Rabu; diikuti Melaka (158 kes baharu, 125 Rabu); Putrajaya (84 kes baharu, 19 Rabu); Perlis (60 kes baharu, 33 Rabu); dan Labuan (25 kes baharu, tujuh pada Rabu).

Selangor walaupun mencatat penurunan kes daripada 1,597 pada Rabu kepada 1,568 semalam, kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu.

Sehingga semalam negeri itu mencatat 725,661 kes positif dengan 702,534 daripadanya telah sembuh. Sebanyak 9,667 kes kematian turut dilaporkan dalam tempoh itu.

Selangor juga sehingga semalam merekodkan 14,945 kes aktif, dengan 12,402 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; 1,453 ditempatkan di PKRC; 1,001 pesakit dimasukkan ke hospital; dan 89 pesakit dirawat di ICU termasuk 51 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sebanyak 2,523,290 kes positif dilaporkan sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu hingga semalam, dengan 2,435,459 pesakit disahkan sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR