10 negeri catat peningkatan kes baharu, lima kluster dikesan

Sekurang-kurangnya 10 negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 hari ini, dengan Selangor kembali mencatat jumlah kes melebihi 1,000.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi Selangor merekodkan 1,080 jangkitan baharu berbanding 809 kes semalam, menjadikan keseluruhan kes positif di negeri itu naik kepada 722,508 kes.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam 699,117 pesakit di negeri itu disahkan sembuh.

Sehingga semalam juga, Selangor merekodkan 14,139 kes aktif dengan 11,880 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,224 ditempatkan di PKRC; 949 dimasukkan ke hospital; dan 86 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, sembilan lagi negeri mencatat peningkatan kes membabitkan Sabah sebanyak 545 kes baharu berbanding 364 semalam; diikuti Sarawak (416 kes baharu, 385 semalam); dan Kuala Lumpur (413 kes baharu, 174 semalam).

Kedah pula merekodkan 412 kes baharu berbanding 325 semalam; Johor (385 kes baharu, 302 semalam); Terengganu (246 kes baharu, 210 semalam); dan Perlis (35 kes baharu, 25 semalam).

Melaka yang menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada 20 November ini turut merekodkan peningkatan kes daripada 168 semalam, kepada 200 kes hari ini.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 2,914 kes aktif dengan 2,438 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 330 ditempatkan di PKRC; 131 dimasukkan ke hospital; dan 15 dirawat di ICU. Melaka mencatat kumulatif kes positif sebanyak 66,688 kes, manakala 63,005 daripadanya telah sembuh.

Jumlah kes harian di Kelantan dan Labuan akan dikemas kini di dalam laman sesawang COVIDNOW selepas tengah malam ini.

Sementara itu, lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di lima negeri dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 5,817 kluster dengan 5,510 telah ditamatkan, manakala 307 lagi masih aktif.

Katanya, daripada lima kluster baharu itu, empat membabitkan tempat kerja dan satu kluster pendidikan tinggi yang dikesan di Segamat, Johor melibatkan 46 individu positif Covid-19, daripada 97 yang disaring.

Satu kluster tempat kerja dikesan di Seremban, Negeri Sembilan membabitkan 16 individu daripada 48 yang disaring; Melaka Tengah (26 positif daripada 78 saringan); Lembah Pantai, Kuala Lumpur (12 kes positif daripada 12 saringan); dan di Kinta, Perak (16 kes positif daripada 35 saringan).

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh sama seramai 5,311 pesakit sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,425,054 kes atau 96.38 peratus daripada 2,516,255 kes kumulatif positif.

Seramai 545 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 270 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata daripada 5,403 kes baharu, 102 atau 1.9 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 98.1 peratus atau 5,301 adalah kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR