
Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 4,503 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara semalam, 27 Julai 2022.
Sepuluh pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Rabu, 27 Julai 2022), termasuk empat kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), Perak merekodkan lima kematian dengan empat daripadanya adalah kes BID, sementara tiga lagi di Selangor, dan masing-masing satu di Pahang serta Pulau Pinang.
Jumlah itu menjadikan seramai 35,942 pesakit meninggal dunia sejak Mac 2020 hingga semalam, dengan 7,635 daripadanya adalah kes BID.
Berdasarkan rekod KKM sejak beberapa minggu lalu, individu berusia 80 tahun dan ke atas menjadi penyumbang terbanyak kes kematian akibat Covid-19, diikuti individu berusia 70 hingga 79 tahun.
Sementara itu, KKM juga memaklumkan sebanyak 4,503 jangkitan baharu dilaporkan semalam, turun sedikit berbanding 4,759 kes yang dicatat pada Selasa.
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 hingga semalam sebanyak 4,664,213 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara Asean selepas Vietnam dan Indonesia.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 3,311 kes melibatkan individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 818 kes (penerima dos kedua); 356 kes (individu tidak divaksinasi); dan 18 kes (individu belum lengkap vaksinasi).
Semalam juga seramai 3,847 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih meningkat kepada 4,581,365 pesakit.
Menurut KKM, kes aktif Covid-19 sehingga kini naik sedikit daripada 46,260 kes pada Selasa kepada 46,902 kes semalam.
Ini termasuk 45,318 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, meningkat berbanding 44,708 pesakit pada Selasa, dan 24 pesakit ditempatkan di PKRC (23 pada Selasa).
Selain itu, seramai 1,505 pesakit dirawat di hospital, meningkat berbanding 1,477 pada Selasa, manakala 59 pesakit di rawat di unit rawatan rapi (52 pada Selasa), dengan 30 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (28 pada Selasa).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam serta kumulatif positif sejak Januari 2020 lalu mengikut negeri:
- Selangor – 1,706 (1,422,612);
- Kuala Lumpur – 989 (399,898);
- Johor – 120 (388,364);
- Sabah – 238 (380,502);
- Sarawak – 81 (309,389);
- Kedah – 159 (303,951);
- Pulau Pinang – 265 (289,877);
- Kelantan – 62 (249,410);
- Perak – 306 (213,941);
- Negeri Sembilan – 173 (212,698);
- Pahang – 74 (173,803);
- Melaka – 171 (128,824);
- Terengganu – 42 (127,290);
- Putrajaya – 100 (23,997);
- Labuan – 11 (21,803); dan
- Perlis – 6 (17,854).