10 berita ringkas Parlimen 14 Mac

Penipuan dalam talian libatkan kerugian RM1.61 bilion

Sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian lebih RM1.61 bilion yang dilaporkan dari 2019 hingga tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Jonathan Yasin berkata kes belian dalam talian mencatatkan kes tertinggi sebanyak 18,857 kes, diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546 kes, lapor Bernama.

“Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani sindiket termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian dan menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

“Kita juga wujudkan ‘CCID Scam Response Center’ dan orang ramai boleh membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat dan kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan,” katanya menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Su ingin tahu secara terperinci mengenai statistik kes penipuan pembelian dalam talian bermula 2019 sehingga tahun lepas serta langkah diambil bagi membendung masalah itu supaya tidak menjejaskan kerancakan urus niaga bentuk baharu.

PPR siap baru serah kepada pembeli

Tidak timbul masalah projek terbengkalai bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kerajaan akan memastikan perumahan itu siap sepenuhnya sebelum diserah kepada pembeli, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan semua kemudahan di PPR siap untuk dinikmati oleh seluruh penduduk yang terdiri daripada golongan B40.

“Antara usaha lain bagi membantu golongan B40 ialah memperkenalkan kaedah ‘sewa untuk beli (RTO) untuk memudahkan urusan pemilikan, memberi subsidi dari segi bayaran pengurusan bulanan PPR dan memberi tempoh tanggungan kecacatan untuk tempoh dua tahun bagi memastikan penghuni B40 mendapat kehidupan yang selesa dan selamat.

“Selain itu, kita juga memperkenalkan kemudahan Internet di semua PPR baharu untuk dinikmati oleh penghuni PPR,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu penyelesaian kementerian dalam menangani masalah rumah PPR yang terbengkalai dan inisiatif kementerian dalam membela hak pembeli rumah PPR terlibat.

MEDAC ditukar kepada KUSKOP daulat bahasa Kebangsaan

Akronim MEDAC bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kini ditukar kepada KUSKOP, kata menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar.

Beliau yang menyatakan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini berkata langkah penukaran akronim itu adalah bagi mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada sesi soal jawab hari ini, Noh berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan pendaftaran 300 koperasi kariah masjid tahun ini selaras usaha membangunkan ekonomi masyarakat Islam secara umumnya.

Ahmad Nazlan ingin tahu mengenai perancangan dan sasaran kementerian pada tahun ini dalam menggalakkan pendaftaran koperasi kariah masjid serta bentuk bantuan kepada mereka bagi membangunkan perniagaan koperasi itu.

Noh berkata berdasarkan data interim pada 30 Jun 2021, SKM mendaftarkan 462 koperasi kariah masjid seluruh negara dengan bilangan keanggotaan 38,616 dan nilai perolehan sebanyak RM3.9 juta.

RUU kawalan bekalan akan dibentang tak lama lagi

Rang Undang-undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 akan dibentangkan dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata rang undang-undang itu merangkumi pindaan Seksyen 10 bagi memperluas kuasa tangkapan kepada pegawai bekalan serta tambahan tiga seksyen baharu iaitu Seksyen 12A, Seksyen 12B dan Seksyen 25A.

“Pengenalan Seksyen 12A bertujuan untuk memberi pegawai bekalan kuasa untuk menjual barang kawalan yang disita yang sifatkannya mudah rosak dan Seksyen 12B bagi mengecualikan tuntutan terhadap kerajaan oleh mana-mana pihak berkenaan dengan barang-barang yang disita.

“Seksyen 25A pula bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pensampelan dalam menjalankan pemeriksaan dan penganalisaan ke atas barang kawalan yang disita,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-BETONG) yang ingin tahu perancangan mengenai keperluan untuk undang-undang penguatkuasaan dipinda atau dikemas kini supaya relevan dengan cabaran semasa.

319 usahawan wanita luar bandar dibantu melalui SPKLB

Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start berjaya membantu 586 usahawan sehingga kini dengan 319 daripadanya adalah usahawan wanita luar bandar melibatkan nilai geran sebanyak RM2.97 juta, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pada tahun ini, sebanyak RM15.3 juta diperuntukkan untuk program khas yang bermula September 2019 itu, iaitu peningkatan RM4.3 juta dari tahun sebelumnya.

“Program ini menyediakan geran bantuan bernilai RM3,000 ke RM5,000 bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bertujuan secara khusus untuk membantu usahawan memulakan semula perniagaan yang terkesan akibat pendemik COVID-19,” katanya menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi meningkatkan usahawan wanita luar bandar.

Pelaksanaan gaji minumum dalam masa terdekat

Pelaksanaan gaji minimum akan diumumkan dalam masa terdekat selepas beberapa faktor diteliti dan diperhalusi bagi mengelakkan majikan mengambil kesempatan terhadap pekerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

“Melihatkan situasi ekonomi semasa negara yang bertambah baik dan kebanyakan perniagaan dilihat berkembang serta menunjukkan trend pemulihan, kerajaan menegaskan peningkatan kadar gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat dan memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta kerajaan menyatakan sebab-sebab kerajaan bercadang untuk melaksanakan kadar gaji minimum di paras sekitar RM1,500 pada penghujung tahun dan bukan melaksanakannya segera.

Kerajaan mulakan langkah rundingan MEUFTA

Kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong.

Menurutnya kerajaan sedia maklum mengenai kepentingan Kesatuan Eropah sebagai antara rakan dagang utama Malaysia.

“Semasa perbincangan terkini pada 23 Dis, 2021, kedua-dua pihak telah mengambil maklum berkenaan kedudukan terkini isu-isu yang masih tertangguh dan berusaha untuk merunding pendekatan dan hala tuju perjanjian ini.

“Keputusan untuk menyambung semula rundingan ini akan dibuat dengan teliti setelah mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 14 Ogos, 2019, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menangguhkan rundingan MEUFTA berikutan tiada kesefahaman daripada kedua-dua pihak berkaitan isu-isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar Bumiputera, halal dan hak harta intelek termasuk petunjuk geografi.

Kerajaan tak iktiraf Sukan Para Remaja Asia

Sukan Para Remaja Asia (AYPG) tidak diiktiraf oleh kerajaan untuk disenaraikan dalam pemberian insentif menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap dalam sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata AYPG tidak disenaraikan dalam pemberian SHAKAM disebabkan beberapa faktor antaranya temasya peringkat remaja itu tidak menetapkan sebarang syarat kelayakan penyertaan, sebaliknya tertakluk kepada kesediaan negara peserta membelanjakan peruntukan bagi menghantar atlet remaja para masing-masing.

Selain itu, beliau berkata kelonggaran syarat klasifikasi menyebabkan beberapa kategori kecacatan digabungkan dalam satu acara dan penggabungan dilakukan dalam AYPG tidak menepati ketetapan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang hanya membenarkan penggabungan dua kategori, namun temasya itu membenarkan lebih daripada dua kategori digabungkan.

“Justeru, tidak afdal sekiranya kemenangan atlet tersebut diberikan insentif hadiah kemenangan. Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah membiayai sepenuhnya penyertaan kontinjen Malaysia ke temasya tersebut di Bahrain yang melibatkan RM260,000 dan disalurkan melalui Majlis Paralimpik Malaysia,” katanya.

Kemajuan projek RTS Johor Bahru-Singapura capai 10 peratus

Tahap kemajuan kerja projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura kini mencapai hampir 10 peratus, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata proses pengambilan tanah selesai dan reka bentuk infrastruktur juga telah dimuktamadkan, manakala kerja-kerja tanah, pengalihan utiliti serta kerja pemasangan cerucuk sedang dilaksanakan ketika ini.

“Kementerian Pengangkutan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelaksanaan projek-projek mega ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Laluan RTS adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer menghubungkan terminal di Singapura di stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Ia akan menyokong kapasiti puncak sebanyak 10,000 penumpang setiap sejam di setiap hala.

Kemasukan kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah diteliti

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti semula garis panduan dan prosedur kemasukan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah kementerian itu.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sementara penelitian itu dilaksanakan, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1/2009: Kemasukan Kanak-kanak Warganegara Tanpa Dokumen ke Sekolah dan Surat Siaran KPM Bilangan (3) Tahun 2018: Permohonan Kemasukan Sekolah Murid Bukan Warganegara masih berkuat kuasa.

“Untuk makluman Yang Berhormat, tidak ada sebarang perubahan kepada dasar ataupun pekeliling baharu yang dikeluarkan selain daripada (surat) yang ada bertarikh 11 Mac 2009 dan 15 Jan 2018.

“KPM menyedari terdapat kes-kes di mana anak-anak warganegara tidak dapat meneruskan pendidikan di sekolah rendah. Justeru sebarang isu yang timbul berhubung perkara itu akan dipertimbang berdasarkan maklumat kes dan tertakluk kepada peraturan serta undang-undang,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR