1.6 peratus kes baharu Covid-19 hari ini kategori 3 hingga 5

Hanya 1.6 peratus atau 68 individu daripada 4,343 yang dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 4,275 pesakit lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dan bergejala tanpa radang paru-paru.

Kategori 3 ialah bergejala dengan radang paru-pari; kategori 4 (bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen); dan kategori 5 (pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ memerlukan alat bantuan pernafasan).

Menurutnya, seramai 554 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 272 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata seramai 5,190 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 2,412,395 kes sembuh berbanding 2,506,309 kumulatif positif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan tujuh kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 5,806 kluster dengan 5,481 telah ditamatkan dan 325 masih aktif.

Tiga daripada kluster itu membabitkan komuniti iaitu masing-masing satu di Tumpat, Kelantan dengan 17 individu daripada 27 yang disaring; Mersing, Johor (16 individu, 47 saringan); dan Ranau, Sabah (52 individu positif daripada 118 yang disaring).

Tiga kluster tempat kerja pula masing-masing dikesan di Timur Laut, Pulau Pinang membabitkan 31 individu daripada 106 saringan; Kluang, Johor (29 individu daripada 95 yang disaring); dan Alor Gajah, Melaka (32 individu positif daripada 52 saringan).

Melaka turut merekodkan satu kluster pendidikan tinggi iaitu di Jasin yang melibatkan 23 daripada 92 individu yang disaring.

BERITA BERKAIT
POPULAR