
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan imunisasi vaksin Covid-19 dijadikan suntikan wajib. - Gambar Agenda Daily
Seramai 1,180,744 individu di seluruh negara melengkapkan dos kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) skali gus mencatat rekod tertinggi dengan pemberian 151,309 dos sejak dilaksanakan 24 Februari lalu.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataannya memaklumkan daripada keseluruhan dos yang diberikan semalam, seramai 105,722 individu mendapat suntikan pertama, manakala 45,587 lagi menerima dos kedua.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata 2,609,377 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,790,121 dos setakat semalam.
Katanya, lima negeri telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 152,215 dos diikuti Sarawak (124,820), Kuala Lumpur (108,740), Perak (108,361) dan Johor (107,192).
Semalam, Menteri PICK Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai ini.
Beliau berkata jumlah itu akan ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.
Sehingga semalam, 52.7 peratus atau 12,774,132 individu telah mendaftar untuk PICK dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,367,090 orang.
Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kelainan Upaya.
Fasa ketiga bermula bulan lalu hingga Februari 2022 pula membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lalu kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.