[FOTO] Nasi tomato, nasi beriani sedap di Bazaar Ramadan Taman Melawati

Penjaja Ramli, 60 melayan pelanggan di Bazaar Ramadan Taman Melawati. Nasi beriani dan nasi tomato dijual pada harga RM8, RM10 dan RM13 sebungkus.

Pasar atau Bazaar Ramadan menjadi kemestian buat umat Islam dan lokasi pilihan kerana pelbagai jenis juadah yang boleh didapati.

Bazaar Ramadan pilihan untuk hari ini ialah Bazaar Ramadan Taman Melawati yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Melawati Mall.

Banyak pilihan makanan disini walaupun masih belum semua tapak niaga dipenuhi oleh peniaga.

Satu gerai di petak 30 dan 31 menarik perhatian lensa kami kerana barisan panjang pelanggan beratur dengan penuh sabar menanti giliran membeli juadah yang dijual di gerai ini.

Chek’s Catering yang menjual Nasi Tomato dan Nasi Briyani sudah beroperasi di Medan Selera AU2 Keramat sejak 29 tahun lalu telah membuka gerai di Bazaar Ramadan Taman Melawati tahun ini.

Sudah hampir 30 tahun berniaga, tidak pelik ia mempunyai peminat setianya yang tersendiri.

“Setiap kali tiba Bulan Ramadan, memang gerai ini yang saya cari untuk jamuan berbuka” komen En Rahim yang sanggup datang dari Gombak untuk mendapatkan Nasi Tomato disini.

Encik Ramli, 60 dan anak-anaknya bersama-sama mengusahakan perniagaan ini dan memastikan kualiti makanan sentiasa “tiptop”