Zelensky dijemput berucap sidang NATO, bakal cetus kemarahan Russia

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bakal mencetuskan kemarahan Russia apabila bersetuju menjemput Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berucap pada sidang kemuncak pakatan tentera 30 negara Barat itu.

Sidang kemuncak itu akan diadakan pada 24 Mac yang membincangkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula 24 Februari lalu, dengan Zelensky akan berucap menerusi sidang video.

Ukraine bukan salah sebuah daripada negara pakatan NATO, tetapi telah memohon menyertainya. Hasrat negara bekas Soviet itu untuk menyertai pakatan berkenaan mencetuskan kemarahan Moscow.

“Presiden Zelensky dijemput untuk berucap pada sidang kemuncak NATO melalui sidang video,” kata pegawai NATO hari ini.

“Ini akan memberi peluang bagi pemimpin sekutu untuk mendengar terus daripada Zelensky mengenai situasi buruk yang dihadapi rakyat Ukraine susulan pencerobohan Russia,” tambah pegawai itu.

Jurucakap Zelensky, Serhiy Nykyforov mengesahkan bahawa pemimpin Ukraine itu akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak berkenaan.

Zelensky akan mendapatkan bantuan dalam menamatkan pencerobohan Russia, menurut agensi berita Interfax-Ukraine.

“Ini mungkin dalam beberapa bentuk. Menutup ruang udara, menyediakan sistem pertahanan udara dan penerbangan berkuasa tinggi kepada Ukraine,” katanya.

“Sekutu NATO membantu Ukraine mempertahankan hak asasinya dengan sejumlah besar peralatan ketenteraan kritikal,” kata pegawai NATO.

“Pada sidang kemuncak itu, NATO dan Ukraine akan membincangkan perkara yang boleh dilakukan oleh sekutu lain bagi mengukuhkan sokongan kami terhadap Ukraine.”

Sidang kemuncak itu bertepatan dengan sidang kemuncak G-7 dan sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang juga akan diadakan di Brussels. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR