Yahya Cholil ketuai Nahdlatul Ulama Indonesia

Cendekiawan Islam yang disegani dan terkenal sebagai ‘simbol generasi baharu’, Yahya Cholil Staquf, dipilih sebagai Pengerusi Nahdlatul Ulama (NU), kumpulan Islam berpengaruh di Indonesia dan pertubuhan Islam terbesar di dunia, bagi sesi 2021/2026.

Yahya, 55, menewaskan penyandang dan pengerusi dua penggal Said Aqil Siradj dan tiga calon lain dalam saingan sengit pada Kongres Nasional NU, pada Jumaat.

Allahyarham bapanya Cholil Bisri mengasaskan parti politik Islam utama Indonesia, Parti Kebangkitan Nasional (PKB), dan adik lelakinya ialah Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas.

“Bukan sahaja beliau lebih muda daripada Said, pemikirannya juga lebih progresif. Anggota NU sudah bosan dengan pentadbiran semasa dan mahu melihat perubahan.

“Tumpuan Yahya ialah bagaimana memperkasakan ahli NU dan menyediakan bantuan kebajikan, manakala Said tertumpu untuk melibatkan NU dalam politik negara,” kata Penyelidik Kanan Pusat Radikalisme yang berpangkalan di Jakarta.

Pemilihan Yahya telah menimbulkan persoalan sama ada pergerakan yang mempunyai lebih 90 juta pengikut akan terus bertapak dalam politik tempatan, dan menggunakan pengaruhnya ke atas dasar luar Indonesia.

Beliau juga dilihat bukan orang asing dalam kerajaan, malah pernah menjadi anggota Majlis Penasihat Presiden pada 2018. Beliau juga menasihati Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengenai perkara agama, domestik dan antarabangsa.

Sementara Said, 68 tahun, dianggap sebagai kunci dalam membawa NU lebih dekat dengan politik.

Kecuali pada 1999 apabila bekas Pengerusi NU, Allahyarham Abdurrahman Wahid, menjadi Presiden Indonesia, pemimpin NU secara amnya tidak memainkan peranan penting dalam politik dalam dua dekad yang lalu.

Tetapi pada 2019, Presiden Jokowi memilih bekas pemimpin NU Ma’ruf Amin sebagai pasangannya dalam pilihan raya, menandakan kembalinya NU ke arena politik secara lebih serius

PKB, jentera politik NU, kini menduduki 58 kerusi di Dewan Rakyat Indonesia yang mempunyai 575 individu dan mempunyai empat menteri.

Dalam konteks penglibatan global, penganalisis menyatakan bahawa Yahya cenderung dari segi politik terhadap Amerika Syarikat, manakala Said dikenali sebagai mesra China.

Yahya juga mengasaskan organisasi yang berpangkalan di AS, Bayt ar-Rahmah, bertujuan mengembangkan operasi NU di Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah.

Pada 2018, Yahya menerima kecaman masyarakat Indonesia apabila beliau melawat Israel atas jemputan Forum Global Jawatankuasa Yahudi Amerika. Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel dan telah lama menentang pendudukannya di wilayah Palestin.

NU, di bawah Said, dikritik kerana dilihat kurang lantang berhubung dakwaan China menindas umat Islam Uighur di Xinjiang.

Bagaimanapun, penganalisis percaya Yahya mempunyai kebolehan politik yang cukup untuk tidak memihak, sejajar dengan dasar luar Indonesia, dan akan mengekalkan hubungan baik dengan China. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR