Xiaomi labur $10 bilion dalam teknologi kenderaan elektrik

Xiaomi

Xiaomi mengumumkan pelaburan $10 bilion untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang kenderaan elektrik baru.

Syarikat teknologi gergasi dari China itu berkata pelaburan tersebut akan memerlukan penubuhan anak syarikat milik penuh baru yang akan menerima pelaburan awal 10 bilion yuan.

Jumlah selebihnya kemudian akan dibelanjakan untuk tempog 10 tahun akan datang, kata Xiaomi dalam satu kenyataan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun mengatakan syarikat itu memasuki pasaran kenderaan elektrik kerana percaya kenderaan elektrik pintar bakal menjadi teknologi berkembang pesat pada masa depan.

“Keputusan itu dibuat setelah banyak perbincangan di antara semua rakan kongsi kami, dan ini akan menjadi projek keusahawanan penting bagi hidup saya.

“Saya bersedia meletakkan semua reputasi peribadi saya dan memperjuangkan masa depan kenderaan elektrik pintar kami,” kata Jun.

Sebelum membuat keputusan tersebut, Jun mendakwa bahawa syarikat itu melakukan 85 pertemuan dengan lebih daripada 200 pakar industri, empat mesyuarat pengurusan dalaman dan dua mesyuarat lembaga pengarah.

Jun akan berkhidmat sebagai CEO anak syarikat kenderaan elektrik baru.

Pada hari yang sama, Xiaomi, yang terkenal dengan telefon pintarnya, juga mengeluarkan telefon pintar pertama yang boleh dilipat, Mi Mix Fold, dan bentuk logo baharu.

POPULAR