WHO ulangi amaran varian Omicron berisiko tinggi

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian Omicron mampu mengundang risiko paling tinggi dan berupaya meranapkan sistem penjagaan kesihatan kerana ia lebih mudah menular.

Impaknya dapat dilihat sejak kemunculan varian baharu Omicron, kes Covid-19 di seluruh dunia terus melonjak secara mendadak.

Minggu lalu, angka kes global melonjak 11 peratus sehingga memaksa kerajaan China, Jerman dan Perancis membuat keputusan untuk mengenakan kembali sekatan atau terus membuka ekonomi dan kehidupan masyarakat.

Sehingga kini, di Belanda dan Switzerland, Omicron merupakan varian dominan di negara itu, mengatasi varian Delta.

Hasil kajian semasa mendapati varian baharu itu hanya mengakibatkan kesan lebih sederhana, tetapi WHO tetap meminta semua pihak berwaspada dan berhati-hati.

“Keseluruhan risiko melibatkan varian membimbangkan (VOC) baharu, Omicron kekal paling tinggi.

“Bukti semasa menunjukkan penularan varian Omicron mampu mengatasi kelebihan varian lain seperti Delta dengan dua kali ganda dalam tempoh dua ke tiga hari,” jelas agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kemas kini mingguan epidemiologi Covid-19.

Melalui data WHO dari Britain, Afrika Selatan dan Denmark setakat ini merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dunia melibatkan seseorang individu, mendapati terdapat kekurangan risiko dimasukkan ke hospital bagi pesakit dijangkiti Omicron berbanding Delta.

Pegawai Kanan WHO Eropah, Dr Catherine Smallwood mengeluarkan amaran penularan pantas Omicron menyebabkan lebih banyak kes positif dimasukkan ke hospital, terutamanya dalam kalangan individu tidak divaksin sehingga boleh mengakibatkan bebanan lebih luas kepada sistem penjagaan kesihatan serta perkhidmatan kritikal lain.

Sehingga kini, Eropah dikategorikan sebagai titik panas pandemik, dengan data menunjukkan lebih 5.4 juta korban akibat Covid-19 secara global.

Semalam, Britain, Greece dan Portugal merekodkan angka kes tertinggi dengan Perancis merekodkan lebih 180,000 kes positif dalam tempoh 24 jam.

Banyak negara dunia mengenakan sekatan bagi membendung penularan Covid-19, sehinggakan keadaan itu kembali membebankan sektor ekonomi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR