WHO terbit pelan strategi, tindak balas baharu tangani Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengeluarkan pelan terkini untuk Covid-19, sambil mencadangkan strategi utama yang, jika dilaksanakan pada 2022, akan membolehkan dunia menamatkan fasa kecemasan wabak itu.

Pelan itu termasuk tiga kemungkinan senario bagaimana virus itu mungkin berkembang pada tahun akan datang.

“Berdasarkan apa yang kita ketahui sekarang, senario yang paling berkemungkinan ialah virus Covid-19 terus berkembang, tetapi keterukan penyakit yang ditimbulkannya berkurangan dari semasa ke semasa apabila imuniti meningkat susulan vaksinasi dan jangkitan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa lonjakan berkala dalam jangkitan dan kematian mungkin berlaku apabila imuniti berkurangan.

Mengenai dua lagi senario berpotensi, Dr Tedros berkata sama ada varian yang kurang teruk akan muncul dan penggalak atau formulasi vaksin baharu tidak akan diperlukan, atau varian yang lebih ganas akan muncul dan perlindungan daripada vaksinasi atau jangkitan terdahulu akan berkurangan dengan cepat.

Pelan Kesediaan Strategik dan Tindak Balas yang dikemas kini menetapkan pelarasan strategik yang perlu dilakukan oleh setiap negara untuk menangani pemacu penularan Sars-CoV-2, mengurangkan kesan Covid-19 dan menamatkan kecemasan global.

Ini adalah pelan ketiga dikeluarkan WHO dan berkemungkinan akan menjadi yang terakhir, kata Dr Tedros.

Laporan pertama dikeluarkan pada Februari 2020, pada permulaan wabak itu. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR