WHO sahkan penularan kes Omicron melonjak dua kali ganda

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian Omicron sudah dikesan di 89 negara dengan lonjakan kes dalam tempoh satu setengah ke tiga hari di kawasan yang merekodkan jangkitan kes tempatan.

Menurut WHO, Omicron dikesan menular dengan pantas di negara yang memiliki tahap imuniti penduduk padat, namun masih tidak jelas sekiranya ia disebabkan keupayaan virus itu menghindari imuniti, kenaikan kebolehjangkitan yang wujud atau gabungan kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, pada 26 November lalu, WHO mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan (VoC) tetapi, masih banyak lagi maklumat tidak dikenal pasti mengenai tahap keseriusan daripada jangkitan itu.

“Data yang diperoleh masih terhad mengenai tahap keterukan jangkitan akibat Omicron.

“Lebih banyak data diperlukan untuk memahami profil keseriusan dan bagaimana ia dipengaruhi oleh vaksinasi dan imuniti sedia ada.

“Data tentangnya masih terhad dan tiada bukti daripada jangkitan sebelum ini mengenai keberkesanan vaksin untuk Omicron sehingga kini,” jelasnya.

WHO turut beri amaran risiko kemasukan yang tinggi ke hospital di beberapa negara ekoran lonjakan kes yang sangat pantas.

“Kadar kemasukan ke hospital di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan terus melonjak dan akibat penambahan kes yang tinggi, berkemungkinan besar banyak sistem penjagaan kesihatan akan mengalami kesesakan,” jelasnya.

Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen turut memberi amaran bahawa Omicron akan menjadi varian dominan di Eropah bermula pertengahan Januari depan.

BERITA BERKAIT
POPULAR