WHO kekalkan kuarantin wajib 14 hari pesakit Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tetap mewajibkan tempoh kuarantin selama 14 hari kepada individu dijangkiti Covid-19 walaupun kebanyakan pesakit sembuh dalam tempoh lima ke tujuh hari sejak pertama kali mempunyai simptom virus itu.

Ketua Pasukan Sokongan Pengurusan Insiden Covid-19 WHO, Abdi Mahamud memaklumkan setiap negara perlu membuat keputusan mengenai tempoh kuarantin berdasarkan situasi semasa di negara masing-masing.

Katanya bagi negara yang merekodkan kes jangkitan rendah, tempoh kuarantin lebih lama diperlukan bagi membantu mengekalkan bilangan kes di tahap paling rendah, namun bagi negara yang mencatatkan kes tertinggi, tempoh kuarantin lebih singkat mungkin wajar dilakukan untuk memastikan aktiviti harian sesebuah negara tidak terjejas.

Mahamud memberitahu kemungkinan untuk seseorang individu dijangkiti oleh kedua-dua influenza dan virus Covid-19, tetapi memandangkan kedua-dua itu adalah virus berlainan yang menyerang tubuh badan dengan cara berbeza, risiko untuk kedua-dua virus itu bergabung menjadi varian baharu adalah ‘amat tipis’.

Menurut WHO, sehingga 29 Disember lalu, kira-kira 128 negara melaporkan kes dari varian Omicron dan di Afrika Selatan mencatatkan lonjakan mendadak dalam jangkitan diikuti dengan penurunan agak cepat bagi kemasukan ke hospital dan kadar kematian masih kekal di tahap terendah.

Jelasnya, situasi sama tidak semestinya akan berlaku di negara-negara lain.

“Walaupun dalam kajian terkini menunjukkan fakta bahawa Omicron hanya memberi kesan kepada bahagian atas sistem pernafasan dan bukannya di paru-paru, namun bagi individu berisiko tinggi dan tidak divaksin masih mampu mendapat gejala teruk daripada jangkitan varian tersebut,” jelasnya.

Dalam tempoh beberapa minggu, varian Omicron mampu mengatasi varian lain terutamanya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar populasi yang terdedah melibatkan individu yang tidak divaksin.

Menurutnya, sebelum ini di Denmark melibatkan kes varian Alpha mengambil tempoh masa dua minggu untuk melonjak dua kali ganda, namun varian Omicron hanya mengambil masa dua hari untuk menular dengan pantas.

Sementara itu, Kumpulan Pakar Penasihat Strategik WHO (SAGE) turut akan berbincang mengenai suntikan imunisasi pada 19 Januari ini untuk mengkaji semula keadaan dan turut akan membincangkan mengenai tempoh suntikan untuk dos penggalak, campuran vaksin berlainan serta komposisi vaksin pada masa hadapan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR