WHO jangka lebih banyak varian bahaya Covid-19 bakal muncul

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian Covid-19 yang lebih mudah merebak dan berbahaya bakal muncul menyebabkan usaha mengekang penularan wabak sedia ada semakin sukar walaupun dengan adanya vaksin.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata penularan varian Delta, bersama dengan peningkatan mobiliti sosial dan langkah kesihatan awam yang tidak konsisten, mendorong pertambahan jumlah kes dan kematian.

“Setelah penurunan selama 10 minggu, kematian meningkat lagi. Virus ini terus berkembang, menghasilkan varian yang lebih mudah ditularkan. Sayangnya, kita sekarang berada pada tahap awal gelombang ketiga.

“Varian Delta sekarang ada di lebih daripada 111 negara dan kami menjangkakan ia akan menjadi varian Covid-19 yang dominan dan menular di seluruh dunia,” katanya.

Ketika ini empat varian menular pada peringkat global terdiri daripada Alpha, Beta, Gamma dan varian terbaharu, Delta yang begitu mudah tersebar.

Varian Delta – pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu – kini sudah merebak di lebih 111 negara termasuk Malaysia.

Jumlah kes dijangkiti varian Delta paling banyak dilaporkan di Asia Tenggara adalah di Indonesia – negara keempat paling padat penduduk di dunia – yang kini telah menjadi titik panas Covid-19 di Asia.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian Delta hanya mengambil masa kira-kira 15 saat sahaja untuk menjangkiti individu yang gagal mematuhi protokol kesihatan termasuk tidak memakai pelitup muka atau tidak menjaga penjarakan fizikal.

Sementara itu, Ghebreyesus berkata terdapat ‘perbezaan mengejutkan’ dalam pengedaran dan pembahagian vaksin Covid-19 pada peringkat global yang tidak sekata.

Banyak negara masih tidak menerima langsung vaksin Covid-19, dan sesetengah negara meneriman tetapi tidak mencukupi, katanya.

Setakat ini, inisiatif perkongsian vaksin antarabangsa (COVAX) telah menghantar lebih 100 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh dunia.

Disebabkan pembahagian vaksin tidak sama rata, beliau berkata, keadaan itu menimbulkan dua ‘kasta’ di mana sekumpulan negara mempunyai akses terbesar terhadap vaksin sehingga mampu menarik balik semua sekatan, sementara kumpulan yang tidak mempunyai akses pula hanya mengharapkan virus tidak menular dengan pantas.

Sambil menekankan bahawa vaksin sahaja tidak mampu menghentikan wabak itu, Ghebreyesus meminta semua negara melaksanakan pendekatan sesuai dan konsisten bagi mengekang penularan Covid-19, terutama varian Delta.

“Ini termasuk menggunakan pelbagai protokol kesihatan awam dan sosial, selain pendekatan pengurusan risiko yang komprehensif untuk perhimpunan besar-besaran.

“Begitu banyak negara di seluruh dunia menunjukkan bahawa virus ini dapat dihentikan dan dibendung dengan langkah-langkah ini,” tegasnya. – Agensi

POPULAR