WHO jangka korban Covid di Eropah bakal cecah 2.2 juta pada Mac

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran lebih 700,000 lagi kematian bakal direkodkan di Eropah akibat jangkitan Covid-19 pada Mac tahun depan, menjadikan angka kumulatif yang terkorban akan mencecah 2.2 juta.

Sehubungan itu, WHO menggesa penduduk di Eropah untuk mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak dengan kadar segera.

Angka korban secara keseluruhan di 53 negara di wilayah WHO Eropah kini sudah mencecah lebih 1.5 juta, susulan kenaikan kes harian sebanyak dua kali ganda sejak September lalu, kepada 4,200 sehari.

Wilayah WHO Eropah yang terlibat adalah Russia dan bekas Republik Soviet yang lain, serta Turki.

Selain itu, WHO menyatakan korban terkumpul yang direkodkan diunjurkan mencecah lebih 2.2 juta menjelang musim bunga tahun depan berdasarkan keadaan semasa.

Manakala, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) di hospital bakal berdepan dengan tekanan tinggi atau berlebihan di 49 daripada 53 negara menjelang 1 Mac nanti.

Menurut WHO Eropah, pada awal 2022 pula, Perancis, Sepanyol dan Hungary adalah negara yang dijangka mengalami tekanan melampau dalam penggunaan ICU.

Semalam, Belanda sudah mula memindahkan pesakit Covid-19 merentasi sempadan ke Jerman apabila tekanan memuncak ke atas penggunaan hospital dan kadar jangkitan terus melonjak ke paras tertinggi.

Isnin lalu, Austria juga sudah melaksanakan perintah berkurung kepada semua penduduknya bagi mencegah penularan gelombang baharu Covid-19 ini.

Sementara itu, WHO memaklumkan bilangan individu tidak divaksin adalah tinggi dan perlindungan vaksin yang semakin berkurangan adalah sebab utama terjadinya penularan baharu di Eropah, di samping jangkitan varian Delta serta kelonggaran penjagaan kebersihan.

Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan suntikan vaksin dan juga mendapatkan dos penggalak ‘jika ditawarkan’. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR