WHO gesa Indonesia perketatkan lagi perintah darurat, bukan longgarkan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak pemerintah Republik Indonesia agar melaksanakan penutupan yang lebih ketat dan meluas bagi memerangi peningkatan jangkitan dan kematian akibat penularan Covid-19.

Pada 3 Julai lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengumumkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ sebagai langkah pencegahan bagi penyebaran wabak Covid-19, yang berkuat kuasa sehingga 20 Julai lalu.

PPKM Darurat itu kemudian disambung sehingga Ahad ini. Setelah mengumumkan lanjutan sekatan itu Presiden Indonesia yang juga dikenali sebagai Jokowi berkata sekiranya trend kes terus menurun, mulai 26 Julai pemerintah akan mula melonggarkan PPKM Darurat secara berperingkat.

Sejak lima minggu lalu, Indonesia telah menjadi salah satu pusat penyebaran global bagi wabak Covid-19 dengan menunjukkan peningkatan kes positif sebanyak lima kali ganda.

Minggu ini, angka kes kematian di republik itu telah mencecah ke paras tertinggi dengan melebihi 1,300 kes.

Sehubungan WHO menggesa Indonesia memperketatkan lagi sekatan sosial untuk mencegah peningkatan jangkitan yang semakin tinggi di 13 daripada 34 wilayah di republik itu.

Dalam laporan terkininya, WHO berkata Indonesia sekarang sedang menghadapi jumlah jangkitan yang sangat tinggi dan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menerapkan langkah-langkah kesihatan kepada masyarakat dan sosial dengan lebih ketat terutamanya bagi larangan pergerakan di seluruh negara ini.

Penutupan sebahagian sekatan sosial di Indonesia seperti bekerja dari rumah dan penutupan pusat membeli-belah hanyalah terhad kepada pulau Jawa dan Bali serta sebahagian kawasan lain. Sektor ekonomi yang dianggap penting dikecualikan daripada peraturan penutupan.

WHO memaklumkan, walaupun kadar kes positif harian Indonesia iaitu jumlah kes orang yang dijangkiti Covid-19 semakin menurun sebanyak 30 peratus sejak minggu lalu, tetapi ia masih di atas paras bahaya.

WHO bertanggapan sekiranya jangkutan berada di atas paras 20 peratus, ia masih dianggap sebagai penyumbang yang sangat tinggi bagi jangkitan Covid-19.

Dalam laporan itu WHO berkata semua wilayah di Indonesia memiliki tahap jangkitan positif melebihi 20 peratus dan hanya wilayah Aceh di Pulau Sumatera yang berada pada tahap 19 peratus. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR