WHO beri amaran jangan campur aduk vaksin Covid-19

Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Soumya Swaminathan menasihatkan orang ramai agar tidak mencampuradukkan vaksin Covid-19 daripada pengeluar yang berlainan.

Ini kerana katanya, hanya ada sedikit sahaja data kajian mengenai kesannya terhadap kesihatan dan perbuatan mencampuradukkan vaksin berbeza itu menjadi ‘trend berbahaya’.

“Pihak kami tidak mempunyai bukti yang sahih kerana data yang diperoleh adalah terhad tentang penggunaan campur dan padankan vaksin itu.

“Ini akan menjadi masalah sekiranya banyak negara yang memutuskan untuk mencampurkan dua vaksin jenis berlainan bagi suntikan dos kedua, ketiga dan keempat,” katanya hari ini.

Pakar penyakit berjangkit sedang mempertimbangkan sama ada individu yang telah menerima vaksin dos tunggal Johnson & Johnson (J&J) perlu mendapat vaksin tambahan lain seperti Pfizer atau mRNA Moderna yang dikatakan lebih berkesan terhadap varian Delta yang sedang menular itu.

Penyelidik di Pertubuhan Vaksin dan Penyakit Berjangkit Universiti Saskatchewan, Dr Angela Rasmussen dalam Twitternya memberitahu, beliau adalah orang pertama yang telah memcampur dan memadankan vaksin J&J dengan Pfizer pada Jun lalu.

Dr Anjela turut menasihati penerima J&J yang lain terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan kadar vaksinasi rendah, untuk berbincang dengan doktor bertugas bagi memcampur dan memadankan vaksin seperti yang dilakukannya.

Oleh kerana varian Delta yang semakin menular menjadi virus dominan di seluruh dunia dan lebih berbahaya dari varian lain, WHO pada bulan lalu telah menasihatkan penduduk dunia untuk menggunakan vaksin yang sedia ada terlebih dahulu, walaupun individu tersebut telah pulih daripada jangkitan Covid-19.

Agensi kesihatan dunia itu menegaskan, adalah penting untuk menerima vaksin secepat mungkin setelah tiba giliran dan jangan ditangguhkan.

WHO berkata vaksin Covid-19 yang telah diluluskan dapat memberikan tahap perlindungan yang tinggi terhadap penyakit kronik dan mengelak risiko kematian akibat penyakit ini, walaupun tiada jenis vaksin yang 100 peratus diyakini dapat memberi perlindungan.

Kebanyakkan orang ramai telah mengambil keputusan untuk menukarkan jenis vaksin yang lain untuk dos kedua seperti vaksin mRNA namun para penyelidikan masih mengumpulkan data yang sahih mengenai penggunaan itu.

Pengarah Unit Vaksin WHO, Dr. Kate O’Brien memaklumkan ssuntikan vaksin Covid-19 yang dibenarkan di seluruh dunia telah dirancang untuk merangsang sistem kekebalan tubuh badan menghasilkan antibodi yang kuat melawan virus, walaupun cara tindak balasnya berbeza.

“Berdasarkan tindak balas bagaimana vaksin itu berfungsi, kami berpendapat bahawa hasil campuran vaksin itu akan berhasil. Tetapi, kami perlu mendapatkan hasil penyelidikan yang lebih sahih mengenai campuran vaksin itu,” katanya.

Penyelidik di Universiti Oxford di UK telah membuat kajian mengenai campuran dan padanan vaksin Covid-19 bagi dua dos suntikan yang menggunakan vaksin seperti AstraZeneca, Moderna, Novavax, dan Pfizer-BioNTech. Percubaan yang lebih terperinci juga sedang dijalankan di Sepanyol dan Jerman.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa data yang menunjukkan bahawa campuran dan padanan suntikan AstraZeneca serta Pfizer adalah selamat dan efektif.

Campuran dan padanan vaksin tersebut turut memberikan kesan sampingan sementara seperti keletihan, sakit dan menggigil.

Seorang ahli virologi di University of Warwick di United Kingdom berpendapat bahawa campuran vaksin Covid-19 ini dapat menghasilkan tindak balas imuniti yang lebih kuat walaupun tiada bukti yang sahih. Terdapat banyak pegawai kesihatan di seluruh negara telah melakukan campuran vaksin ini mengikut keadaan.

Ini disebabkan Kesatuan Eropah (EU) menasihatkan individu lebih muda yang telah mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca sebagai dos pertama untuk mengambil Pfizer atau Moderna bagi suntikan kedua kerana AstraZeneca telah dikaitkan dengan masalah darah beku. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR