WHO belum pasti keberkesanan suntikan dos ketiga

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak dapat memastikan sama ada suntikan penggalak dos ketiga vaksin Covid-19 diperlukan untuk mengekalkan tahap perlindungan, sehingga data terbaharu diperoleh.

“Kami tidak tahu sama ada vaksin penggalak akan diperlukan untuk mengekalkan perlindungan terhadap Covid-19 sehingga data tambahan dikumpulkan, tetapi pertanyaannya sedang dipertimbangkan oleh para penyelidik.

“Terdapat data terhad mengenai berapa lama tempoh perlindungan suntikan vaksin Covid-19 itu terhadap Covid-19 dan adakah dos tambahan akan memberi manfaat, dan kepada siapa,” kata WHO menjawab pertanyaan Reuters

Semalam, Pfizer Inc (PFE.N) merancang meminta pengawal selia Amerika Syarikat untuk membenarkan penggunaan dos tambahan vaksin Covid-19 mulai bulan depan.

Permohonan itu dibuat susulan penemuan bukti yang menunjukkan risiko jangkitan semula selepas enam bulan dua dos suntikan diambil, selain penularan varian Delta yang mudah berjangkit.

Beberapa negara lain, termasuk Turki dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan sudah mula memberikan dos ketiga kepada mereka yang disuntik dengan vaksin China, Sinovac, di tengah-tengah kebimbangan bahawa kemungkinan vaksin itu kurang berkesan terhadap varian baharu Covid-19 yang lebih mudah menular.

Semalam, pemerintah republik Indonesia bersetuju memberikan suntikan vaksin ketiga jenis Moderna kepada kakitangan perubatannya bagi meningkatkan lagi ketahanan diri daripada virus Covid-19, khususnya varian Delta yang semakin menular di negara itu.

Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata program vaksinasi ketiga (booster) akan dimulakan minggu depan membabitkan 1.47 juta kakitangan kesihatan negara itu.

Indonesia sebelum ini memberi vaksin Sinovac buatan China yang dihasilkan bukan menerusi teknologi mRNA kepada petugas barisan hadapan mereka.

Namun, tindakan meluluskan suntikan dos ketiga menggunakan vaksin mRNA, Moderna, dilihat cenderung untuk mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap produk China yang sebelum ini menjadi vaksin utama program vaksinasi republik itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR