Washington longgar pemakaian pelitup muka di tempat tertentu

Bermula minggu depan, penduduk di Washington tidak lagi perlu memakai pelitup muka kecuali di tempat-tempat tertentu, seperti sekolah dan ketika menggunakan pengangkutan awam.

Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan hal tersebut susulan jangkitan Covid-19 di ibu negara Amerika Syarikat (AS) itu semakin menurun.

“Bermula 22 November iaitu Isnin depan, pihak berkuasa akan menarik semula perintah pemakaian pelitup muka ketika berada dalam bangunan,” umum Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser dalam laman Twitter.

Manakala bagi perniagaan swasta boleh terus mengenakan peraturan mereka sendiri dan pemakaian pelitup muka masih wajib digunakan ketika menaiki kenderaan, perpustakaan, pusat penjagaan, penjara dan beberapa pejabat pihak berkuasa tempatan.

Pada Julai lalu, Washington mengenakan syarat wajib pemakaian pelitup muka kepada individu yang lengkap divaksin atau tidak, susulan peningkatan jangkitan positif dan penularan varian Delta.

Selain itu, Washington turut melaksanakan sekatan yang agak ketat berbanding di bandar raya lain di AS untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin melonjak.

Bagaimanapun, panduan baharu penarikbalikan arahan pemakaian pelitup muka itu dilihat bertentangan dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Ini kerana, agendi itu masih menganggap Washington sebagai kawasan penularan komuniti yang tinggi dan masih mengesyorkan orang ramai agar tetap memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan di kawasan bertutup.

Dalam tempoh 24 jam semalam, Washington merekodkan lebih 2,289 kes baharu dan 35 kematian akibat Covid-19, menjadikan angka kumulatif kes di ibu negara itu mencecah melebihi 759,000 kes dan 9,069 korban sejak Januari tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR