Wartawan AS mati ditembak di Ukraine

Seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) ditembak mati dan seorang lagi cedera pada Ahad (13 Mac 2020) di Irpin, barisan hadapan di pinggir barat laut Kyiv, Ukraine, kata pakar perubatan dan saksi kepada AFP.

Dr Danylo Shapovalov, pakar bedah sukarela untuk pertahanan wilayah Ukraine, berkata salah seorang warga Amerika meninggal dunia serta-merta dan beliau sedang merawat seorang lagi.

Wartawan AFP di Irpin melihat mayat mangsa.

Mangsa ketiga, seorang warga Ukraine yang berada dalam kereta yang sama dengan wartawan itu serta seorang lagi, juga cedera.

Pihak berkuasa Ukraine menyalahkan tentera Russia berhubung kejadian itu, tetapi keadaan sebenar tidak dapat dipastikan.

Wartawan AFP mendengar tembakan senjata kecil dan artileri di kawasan itu.

“Kereta itu ditembak. Terdapat dua wartawan dan seorang daripada kami (warga Ukraine),” kata Dr Shapovalov kepada AFP.

“Lelaki kami dan wartawan itu cedera, saya memberikan mereka pertolongan cemas, seorang lagi cedera di leher, dia mati serta-merta.”

Dokumen yang ditemui pada mayat wartawan Amerika itu mengenal pasti mangsa juruvideo dokumentari berusia 50 tahun Brent Renaud, dari New York.

Kad pengenalan New York Times adalah antara dokumen yang membawa kepada laporan mangsa bekerja untuk akhbar itu, tetapi akhbar harian AS berkata mangsa tidak bertugas ketika kejadian.

“Brent adalah jurugambar dan pembuat filem berbakat yang telah menyumbang kepada The New York Times selama bertahun-tahun,” kata satu kenyataan oleh Timbalan Pengarang Urusan Cliff Levy.

“Walaupun dia pernah menyumbang kepada The Times pada masa lalu (terbaru pada 2015), dia tidak diberi tugasan untuk mana-mana meja di The Times di Ukraine.” – AFP

BERITA BERKAIT
POPULAR