Warga Singapura masih pakai pelitup muka walaupun tak lagi diwajibkan

Walaupun tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka, namun warga Singapura masih memilih untuk memakainya kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Kerajaan republik itu mengumumkan kelonggaran sekatan termasuk kewajipan memakai pelitup muka bermula 29 Mac, namun tinjauan mendapati orang ramai masih berwaspada dan memakainya demi keselamatan diri.

Hingga 75 peratus pekerja kini dibenarkan kembali ke pejabat dan had kapasiti bagi acara besar dengan lebih 1,000 orang juga akan dinaikkan ke 75 peratus.

Singapura juga akan memudahkan perjalanan rentas sempadan secara ketara dengan melonggarkan lebih banyak sekatan bagi pengunjung yang sudah divaksin penuh untuk masuk ke Singapura.

Kelonggaran itu diumumkan pada 23 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.

Jangkitan Covid-19 Singapura kian susut selepas memuncak dengan 26,032 kes pada 22 Februari lalu.

Bilangan kes coronavirus turun secara beransur-ansur daripada lebih 24,000 pada 1 Mac lalu kepada sekitar 10,000 kes sejak beberapa hari kebelakangan manakala kemasukan ke hospital berkurangan daripada 1,238 kepada 951.

Antara perubahan besar yang diumumkan ialah kumpulan hingga 10 orang yang divaksin penuh boleh menjamu selera di luar dan isi rumah juga boleh menerima hingga 10 tetamu pada satu-satu masa.

Pemakaian pelitup muka juga tidak dikehendaki di luar kawasan awam, tetapi pelitup muka masih perlu dipakai di ruang tertutup seperti dalam pengangkutan awam, pusat beli-belah dan bilik darjah.

BERITA BERKAIT
POPULAR